Munafik 2 yang merupakan naskhah terbaharu arahan Syamsul Yusof itu bakal ditayangkan menjelang esok, Khamis, 30 Ogos.

Filem Hantu Kak Limah arahan Mamat Khalid pula sudah mengumpul kutipan mencecah RM32.7 juta selepas ditayangkan selama 18 hari sejak 9 Ogos lepas.

Mungkin ada yang tidak setuju kenapa kedua-dua buah filem tersebut perlu dibandingkan dari segi kutipan pecah panggung.

Namun realitinya, penulis percaya apa yang telah dicapai Hantu Kak Limah itu telah mencipta ‘perang’ baharu filem pecah panggung di negara ini.

Sebelum ini, Hantu Kak Limah telah memecahkan rekod filem tempatan terlaris yang dipegang oleh naskhah Abang Long Fadil 2 yang mengumpul kutipan keseluruhan RM19.04 juta dalam tempoh 28 hari tayangan.

Jika perbandingan dibuat pula antara Hantu Kak Limah dan Abang Long Fadil 2, dalam tempoh taya­ngan yang sama, ada kemungkinan Hantu Kak Limah mampu mengumpul kutipan mencecah RM40 juta!

Jika Hantu Kak Limah berjaya mengumpul RM40 juta dalam tempoh 28 hari tayangan, maka ia secara rasminya telah menetapkan penanda aras yang tinggi buat rekod filem tempatan terlaris sepanjang masa.

Ironinya, Hantu Kak Limah dihasilkan dengan kos RM1.2 juta manakala Munafik 2 dihasilkan dengan kos yang lebih tinggi iaitu mencecah RM2.8 juta.

Namun, penulis percaya berdasarkan rekod kutipan filem Munafik yang ditayangkan pada 2016 dan berjaya mengumpul kutipan mencecah RM17.04 juta, sudah pasti Munafik 2 tidak syak lagi akan memberi persaingan yang hebat terhadap Hantu Kak Limah untuk mengungguli takhta filem tempatan terlaris sepanjang masa tersebut.

Dalam kehangatan perang filem pecah panggung karya penerbit tempatan itu, bagaimanapun ada cerita kurang enak tentang pencapaian industri perfileman negara secara keseluruhannya.

Menurut rekod Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas), sehingga Ogos tahun ini dan terma­suklah Hantu Kak Limah, sebanyak 32 buah filem tempatan telah ditayangkan tetapi rata-ratanya gagal meraih kutipan yang memberangsangkan.

Selain Hantu Kak Limah, filem pecah panggung 2018 boleh dibilang dengan jari iaitu Lee Chong Wei Rise of the Legend dengan kutipan mencecah RM4.75 juta dan KL Special Force (RM12.2 juta).

Filem lain yang meraih kutipan melebihi RM1 juta ialah Pulang (RM1.7 juta), A House of Happiness (RM1.6 juta) dan Vedigundu Pasangge (RM1.1 juta).

Itu sahaja. Ternyata, majoriti filem tempatan yang ditayangkan pada tahun ini bukan sahaja tidak berjaya meraih kutipan mencecah RM1 juta malah lebih malang, kebanyakannya pula gagal mengumpul kutipan mencecah RM200,000!

Justeru, di sebalik keterujaan terhadap perang pecah panggung filem tempatan, berlaku perkembangan kurang enak yang mana jurang antara filem terlaris dengan filem yang gagal pecah panggung menjadi semakin jauh.

Penulis akhiri dengan persoalan adakah ia suatu perkembangan yang baik buat masa depan industri perfileman tempatan?