Sudahnya, budak itu lebih rela duduk di rumah tanpa membuat sebarang kerja dan masih menunggu dipanggil temu duga. Graduan itu juga mengakui dia memang memilih pekerjaan yang sesuai dan tidak mahu bekerja tanpa mengikut minatnya.

Dia lepasan universiti tempatan dengan memiliki ijazah pentadbiran perniagaan. Dalam situasi persekitaran ekonomi yang tidak menentu ini seharusnya kita perlu bijak mencari peluang untuk meneruskan survival.

Bukannya mengalah kepada keada­an dan akhirnya menyalahkan takdir. Apatah lagi kalau ada yang hilang pekerjaan dan perlu mencari peluang-peluang baharu.

Duduk di meja bulat bersama rakan-rakan sambil menghirup secawan kopi ada kalanya membuahkan idea bernas di mana diri sendiri tidak terfikir. Ini dinamakan perkongsian idea dalam ruang yang ada sebelum ia dikembangkan dengan idea masing-masing.

Kadang-kadang kita ada pelbagai idea, kalau ditulis boleh berjela pada helaian kertas. Tetapi mampukah idea tadi dikembangkan?

Kalau ada peluang yang betul tidak mustahil ia dapat direalisasikan. Apabila lihat kisah orang berjaya ia adalah motivasi sebagai pemangkin untuk ke arah itu. Persoalannya, kepada mereka yang berfikiran seperti graduan tadi, adakah anda memilih atau mahu mencari survival dan pengalaman?

Orang kata, pengalaman mendewasakan kita. Lagi banyak yang kita tempuh lagi ba­nyak peluang dan pengalaman kita dapat. Contohnya, penghantar makanan Food Panda, mungkin dia boleh berkenalan dengan tauke-tauke yang hebat hanya kerana networking menghantar sebungkus makanan.

Dari situ barangkali ada peluang-peluang yang boleh dikongsi. Siapa tahu, untung sabut timbul untung batu tenggelam. Paling penting, jangan kita sombong tak tentu hala. Jaga akhlak dan budi bahasa. Contoh yang dengan dekat penulis ialah bekas teman pejabat yang kuat semangat selepas mereka ditawarkan pemberhentian kerja sukarela. Di luar sana macam-macam peluang yang ada.

Ada yang menjadi bos kepada diri sendiri bahkan ada meneruskan kelangsungan hidup dengan makan gaji. Masing-masing rupa-rupanya berbakat, ada yang pandai buat roti, kek, dim sum dan ayam golek. Hebat!

Tidak kisah apa pun peluang yang ada, mereka tidak memilih sebaliknya minat dalam bidang baharu. Apa pun yang kita lakukan sekarang sama-sama kita berkongsi idea dan rai pandangan walaupun berbeza. Bukannya menghina dan berasa ego diri itu hebat.

Penulis sedang merancang mahu singgah di restoran bekas Ketua Meja Jenayah Kosmo!, Rosli Hassan iaitu Majorina Kafe yang terletak di Saujana Kajang Utama, Kajang.