Kerajaan yang dipilih juga adalah yang mendapat mandat daripada majoriti rakyat sesebuah negara. Dalam erti kata lain, demokrasi memberikan kuasa terbesar kepada rakyat jelata untuk menentukan pemimpin mereka.

Begitupun, tidak semua pemilihan melalui proses demokrasi akan diterima. Barat yang sinonim sebagai pendukung kuat sistem tersebut pernah menolak keputusan pilihan raya yang berlangsung secara telus dan adil walhal, mereka sebelum ini mencanang-canangkan kepada dunia bahawa proses demokrasi haruslah diterima kerana ia adalah suara keramat rakyat jelata.

Pernah berlaku suatu ketika dahulu, Barat yang diketuai negara polis dunia, Amerika Syarikat (AS) menolak mentah-mentah keputusan pilihan raya Palestin selepas rakyat di wilayah bergolak itu memberikan kemenangan kepada calon-calon pergerakan Hamas yang dilabel Barat sebagai pengganas untuk memimpin mereka. Malah, Barat turut memberi tekanan terhadap Gaza sebagai hukuman kepada penduduknya bahawa mereka telah membuat pilihan yang salah.

Barat sendiri sudah lupa akan prinsip asas dalam demokrasi adalah ia tidak memandang warna kulit dan tidak memihak kepada mana-mana pegangan ataupun ideologi politik mahupun bangsa. Demokrasi hanya akan memberi kuasa kepada sesiapa sahaja yang memperoleh majoriti.

Atas kesedaran tersebut, pemimpin-pemimpin kulit putih daripada parti Republikan semakin sedar bahawa suatu hari nanti, komposisi kaum di negara kuasa besar itu akan berubah dan tidak mustahil juga pada masa hadapan, bilangan etnik bukan kulit putih akan menya­mai penduduk kulit putih, malah melebihi jumlah mereka.

Ketika itu, parti-parti politik yang membawa agenda kulit putih semata-mata akan menjadi kurang relevan dan tidak lagi gah seperti dahulu. Ketika itu juga, penduduk kulit putih yang merasakan bahawa Amerika adalah hak dan tanah air mereka juga akan berasa tertekan.

Ini kerana etnik-etnik lain tentunya memilih parti-parti politik yang akan memperjuangkan nasib dan kepen­tingan mereka, manakala parti-parti politik yang dahulunya memberi tumpuan untuk memperjuangkan agenda kulit putih perlu mengubah haluan untuk kekal relevan dan terus mendapat sokongan ramai.

Faktor kebimbangan penduduk kulit putih yang merasakan diri mereka terancam berikutan kemasukan imigran terutamanya dari rantau Amerika Tengah dan Selatan di mana anak-anak imigran yang lahir ini diberikan kerakyatan, digunakan oleh Donald Trump untuk memancing sokongan semasa kempen pilihan raya Presiden lalu.

Trump tampil ke hadapan sebagai mewakili golongan ini dan berjanji menerusi dasar tutup pintu dan AS diutamakan untuk meraih sokongan pegundi kulit putih walaupun beliau sedar bahawa sesetengah dasar itu nyata bersifat rasis.

Biarpun begitu, Presiden AS itu mengotakan janjinya untuk mengetatkan kawalan sempadan. Beliau bermati-matian memberi tekanan terhadap Kongres supaya meluluskan peruntukan untuk membina tembok di sepanjang sempadan AS-Mexico, dasar yang tidak pernah terlintas dalam fikiran presiden-presiden AS terdahulu.

Malah, baru-baru ini beliau meluahkan pada hemat penulis, apa yang selama ini terbuku dalam sanubari penduduk kulit putih di negara itu tetapi tidak pernah diluahkan secara terbuka. Trump mengatakan bahawa Amerika sudah penuh, manakala kedatangan imigran sama sekali tidak dialu-alukan lagi.

Pilihan raya Presiden yang lalu menyaksikan Trump kalah dari segi undi popular dan menang kerana sistem pilihan raya AS yang sedikit unik. Ia sedikit seba­nyak membuka minda pe­mimpin-pemimpin Republikan bahawa demokrasi yang suatu masa dahulu mereka sanggup menum­pahkan darah bagi memperjuangkannya, suatu masa nanti akan mengubah status quo yang mereka cuba kekalkan selama ini.

Cumanya, orang awam perlu lebih banyak membaca untuk mengetahui tentang corak, kele­bihan serta kelemahan sistem ini supaya mereka dapat membuat pilihan yang wajar dan munasabah lebih-lebih lagi pada era siber di mana maklumat boleh dieksploitasi.