Terdapat juga kenalan isteri penulis sanggup pergi ke restoran untuk menonton perlawanan itu secara langsung menerusi televisyen ketika balik kampung untuk menyambut hari raya.

Bukan setakat menyaksikan sahaja, peminat tegar turut memberi pelbagai komen umpama jurulatih tidak bertauliah selepas perlawanan berakhir.

Beberapa rakan penulis juga memberi pandangan sejurus selepas menonton perlawanan bola sepak secara langsung.

Salah seorang rakan itu memberi komen bahawa pasukan Iceland yang tidak mempunyai liga hebat pun mampu seri 1-1 dengan Argentina.

Menurut rakan itu, kejayaan skuad Iceland itu bukannya bergantung kepada bentuk fizikal pemain yang tinggi tetapi juga kemahiran dan taktik sesuai ketika berada di atas padang.

Ada juga sahabat yang memakai jersi pasukan kegemaran masing-masing dan menghantar kiriman WhatsApp selepas Mexico me­ngalahkan juara dunia 2014, Jerman.

Seorang rakan penulis pula memakai jersi pasukan England ketika menonton skuad itu menewaskan Tunisia 2-1. Gembiranya sahabat itu.

Terdapat juga komen di Facebook menyatakan pemain bola sepak Iran persis seperti model kerana mempunyai raut wajah yang tampan.

Namun, apa yang pasti ialah bantuan teknologi terkini pada telefon bimbit membantu peminat menge­tahui keputusan tanpa perlu bersengkang mata menonton perlawanan secara langsung.

Bagaimanapun, ada peminat tegar yang akan berusaha mencari ‘jalan’ untuk menonton perlawanan secara langsung menerusi telefon bimbit jika tiada televisyen berada di sekitar mereka.

Pelbagai gelagat tersebut menunjukkan ‘demam bola sepak’ sudah bermula. Minat luar biasa itu menunjukkan bola sepak mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan rakyat negara ini.

Kedudukan ranking skuad negara yang tercorot juga tidak menghalang peminat tegar bola sepak mengorbankan waktu tidur untuk menonton perlawanan berprestij itu.

Justeru, tidak dinafikan lagi sukan bola sepak secara tidak langsung boleh menyatukan penduduk ber­bilang kaum di negara ini. Bola sepak bukan sekadar sukan tetapi lebih daripada itu. Ia membantu memperkukuhkan perpaduan kaum di negara ini.