Dengan purata suhu terendah iaitu 16 darjah Celsius, Genting Highlands saban minggu menjadi tumpuan pelancong sama ada menginap di hotel, berhibur atau membeli-belah terutamanya di Genting Highlands Premium Outlet. Sekiranya merancang pergi ke pusat pelancongan itu pastikan baju sejuk dibawa sekali.

Bagaimanapun, minggu lalu Kuala Pilah, Negeri Sembilan merekodkan bacaan suhu paling rendah iaitu 21 darjah Celsius terutama tengah malam dan awal pagi, sekali gus penduduk di kawasan tersebut mengalami suasana sejuk seperti di Genting Highlands. Jabatan Meteorologi Malaysia mengesahkan perkara tersebut dengan menyatakan keadaan itu adalah fenomena biasa ketika musim Monsun Timur Laut.

Ia juga disebabkan faktor cuaca mendung, hujan berterusan dan pergerakan tiupan angin sejuk Monsun Timur Laut yang me­landa beberapa negeri di Semenanjung.

Beberapa kawasan di daerah tersebut seperti Ulu Bendul dan Dangi turut berkabus menyebabkan penduduk perlu memakai pakaian sejuk ketika keluar dari rumah. Bagi warga emas juga mereka terpaksa me­ngenakan pakaian tebal ekoran kesejukan.

Bahkan, fenomena sejuk luar biasa itu ternyata menarik tumpuan ramai itu dan turut mendapat liputan Kos­mo! di muka hadapan yang kemudiannya telah dikongsi menerusi WhatsApp dan Facebook. Lebih menarik, terdapat beberapa gambar turut disunting seperti gambar sempadan Kuala Pilah/Tampin yang mengalami salji, monyet memakai selimut dan seorang lelaki menoreh getah dengan memakai selimut yang tebal.

Mengenang kembali suasana sejuk itu, saya berpendapat penduduk di Kuala Pilah suatu masa dahulu iaitu lebih 20 tahun lalu biasa berhadapan dengan cuaca sejuk sedemikian. Ketika itu, pada tengah malam hingga awal pagi, embun biasanya berlaku di kawasan kampung.

Ketika itu, jika tidur dalam rumah beratapkan zink, pasti air embun menitik jatuh ke atas tubuh badan, manakala jika menunggang motosikal pada waktu itu bersedialah untuk menggigil.

Keadaan itu berlaku kerana di kawasan kampung yang dikelilingi bukit masih banyak pokok yang membekalkan oksigen. Ia ternyata berbeza pada ketika ini apabila kawasan kampung turut dikejar pembangunan.

Pembangunan itu bukan sahaja dari segi pembinaan rumah, malah penerokaan hutan untuk projek pertanian turut  mengubah landskap di kawasan kampung.

Bahkan kawasan bukit yang suatu masa dahulu tidak mempunyai pemilik, kini bertukar status pemilik persendirian. Akibatnya, banyak bukit yang sebelum ini dihuni pelbagai spesies fauna dan flora hilang diganti sama ada menjadi hutan sekunder atau dibina rumah.

Keadaan itu menyebabkan sesetengah kampung tidak lagi sesejuk 20 tahun lalu dan embun yang me­numpang rumput juga semakin sukar dicari.

Pada zaman persekolahan juga, penulis pernah bermalam di rumah rakan di Kampung Sikai, Seri Menanti. Ia terletak kira-kira 32 kilometer (km) dari ibu negeri, Seremban dan 14km dari pekan Kuala Pilah. Kampung ini terletak di suatu kawasan lembah yang dikelilingi bukit-bukau menghijau.

Uniknya, cuaca kampung tersebut bukan sahaja begitu sejuk, malah penulis berpeluang mandi di kawasan air sungai berhampiran kampung tersebut. Ia satu pe­ngalaman indah. Justeru, penulis berharap pembangunan di kawasan kampung ini dapat diminimumkan agar keindahan alam semula jadi ini kekal terpelihara.