Pengiktirafan itu merupakan satu pencapaian yang amat besar ertinya. Ia bukan sahaja untuk warga Muar, Johor tetapi juga menjadi satu kebanggaan kepada negara secara keseluruhannya.

Pastinya untuk mencapai pengiktirafan itu bukanlah satu tugas yang mudah terutamanya kepada pihak pentadbir bandar Muar atau turut dikenali sebagai Bandar Maharani.

Ini kerana, untuk mengurus dan menjaga kebersihan bandar yang mempunyai keluasan 1,376 kilo­meter persegi dengan jumlah penduduk kira-kira 400,000 orang itu merupakan satu cabaran yang amat besar, tetapi mereka berjaya membuktikan bahawa tiada yang mustahil untuk dicapai.

Lebih istimewa, mereka kini berada sebaris dengan bandar-bandar pelancongan ternama lain di Asia Tenggara sebagai bandar pelancongan terbersih seperti Siem Reap di Kemboja serta Surabaya, Banyuwangi dan Semarang di Indonesia.

Secara keseluruhannya, tahap kebersihan bandar itu dinilai melalui pelbagai kriteria antaranya meliputi keindahan landskap, sistem pengurusan sampah yang sempurna, jalan yang bersih, bangunan-bangunan yang dijaga indah, sungai yang bebas daripada kotoran selain kualiti udara yang segar dan nyaman.

Pencapaian menakjubkan itu sudah tentu tidak akan mampu dicapai atas usaha pihak berkuasa tempatan Muar semata-mata, tetapi ia sudah pasti adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk syarikat pengurusan sisa pepejal yang dilantik, pekilang-pekilang yang beroperasi di kawasan tersebut, para peniaga dan yang paling penting ialah penduduk di kawasan itu sendiri untuk menjaga kebersihan dan keindahan di tempat mereka.

Jadi, inisiatif dan kesungguhan semua warga Muar itu dalam menjaga kebersihan bandar mereka wajar menjadi contoh kepada kita semua.

Secara hakikatnya, ketika ini, sebahagian besar pihak berkuasa tempatan di seluruh negara ketika ini sentiasa ‘bergelut’ untuk memastikan kawasan mereka berada dalam keadaan bersih. Ini kerana, walaupun pelbagai usaha telah dilakukan, namun masalah kebersihan tetap menjadi isu utama untuk diselesaikan oleh mereka.

Semuanya berpunca daripada sikap segelintir masyarakat kita sendiri yang kelihatannya begitu sukar untuk mempraktikkan amalan menjaga kebersihan bukan sahaja di tempat tinggal mereka, malah turut terbawa-bawa sehingga ke tempat-tempat umum.

Sebagai contoh yang paling ketara, pihak berkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur misalnya, terpaksa memasang jaring-jaring keselamatan di kebanyakan kawasan perumahan rakyat sekitar ibu negara hanya kerana sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab yang suka membuang sampah sarap dari tingkat atas bangunan.

Perbuatan itu bukan sahaja telah mewujudkan persekitaran yang kurang menarik kerana sampah-sampah bertaburan, malah turut me­ngancam ke­selamatan penghuni yang lain.

Entah di mana silapnya, masalah masyarakat suka membuang sampah di merata-rata ini sebenarnya berlaku di mana-mana dan ia seolah-olah begitu sukar untuk diatasi. Walaupun amalan menjaga kebersihan menjadi teras dalam ajaran agama, namun tidak semua masyarakat kita yang benar-benar mengerti tentang tanggungjawab tersebut.

Kadang-kadang, kita kurang faham mengapakah amalan kebersihan ini begitu sukar untuk dilaksanakan oleh segelintir masyarakat kita.

Walaupun pelbagai usaha te­lah dilakukan oleh pihak berwajib untuk memastikan kawasan masing-masing berada dalam keadaan bersih dan menarik, namun masih ramai yang seolah-olah kurang mengerti tentang tanggungjawab menjaga kebersihan.

Oleh kerana itu, semua pihak berkuasa tempatan di seluruh negara mungkin boleh belajar sesuatu dan menjadikan Muar sebagai model dalam usaha menjaga kebersihan di kawasan masing-masing.

Paling tidak, mungkin antara elemen paling penting yang patut dipelajari daripada mereka ialah bagaimana Muar boleh mendisiplinkan masyarakat atau penghuni mereka menjadi sensitif terhadap amalan menjaga kebersihan.

Kalau Muar boleh, bandar-bandar lain juga pasti boleh.