Bukan itu sahaja, kita juga disuruh melakukan perkara yang baik-baik serta tidak menyakiti hati pihak lain. Kita perlu saling menghormati, sama ada tua atau muda.

Penulis teringat waktu kecil, apabila ibu sering memberi amaran untuk ‘cili mulut’ anak-anaknya jika kami berkata sesuatu yang tidak baik, malah ketika bergaduh atau tidak hormat antara satu sama lain.

Kenangan dan amaran itu yang membuatkan kami berjaya dilentur dan mengelakkan daripada bercakap sesuatu yang kurang sopan.

Semua tahu tentang pe­patah ‘Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’. Sejak di bangku sekolah lagi, kita diajar pe­patah ini yang dalam bahasa Inggeris berbunyi, “If you have nothing good to say, say nothing”.

Ia bermaksud, berhati-hati apabila berkata-kata atau menyatakan sesuatu kerana kata-kata yang sudah terkeluar sukar ditarik balik dan memberi kesan yang mendalam ataupun melukakan hati orang lain.

Pepatah ini sering digunakan sebagai memberi peringatan atau pedoman terhadap buah bicara kita yang ada kalanya akan mengundang rasa amarah kepada yang mendengar.

Penulis percaya setiap daripada kita sudah bia­sa dengan pepatah ini dan faham akan kesan daripada terlajak berkata-kata.

Ia juga mengingatkan penulis terhadap permohonan maaf yang dibuat seorang lelaki kepada pasukan bomba yang menjalankan operasi menaikkan sebuah kende­raan utiliti sukan (SUV) yang terjunam ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang baru-baru ini.

Lelaki yang dikenali sebagai Chuah Chun Howe membuat permohonan maaf selepas mengeluarkan komen menghina pasukan bomba menerusi video live ketika operasi mencari dan menyelamat SUV itu dijalankan.

SUV terbabit telah terbabas akibat dilanggar sebuah kereta lain di jambatan tersebut sebelum terhumban ke laut.

Memetik permohonan ma­af Chun Howe yang dipaparkan menerusi sebuah portal, dia mengakui kesal dengan percakapannya mengenai anggota bomba sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai terhadapnya.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata, kes ber­kenaan akan tetap disiasat di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 51 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 kerana menghalang tugas anggota keselamatan.

Selain itu, pada 3 Februa­ri tahun lalu, media turut me­laporkan seorang lelaki maut apabila ditikam menggunakan senjata tajam pada dada di rumahnya di Jalan Pandamaran, Klang, Selangor gara-gara sering mengusik seorang rakannya yang merupakan orang kelainan upaya.

Mangsa yang berusia 55 tahun itu dipercayai mening­gal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.
Menurut siasatan polis, kejadian berlaku selepas suspek berusia 51 tahun tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang sering mengejeknya yang kudung kaki sebelah kanan.

Selama ini kedua-dua lelaki terbabit merupakan kawan rapat dan hampir setiap petang suspek akan ke rumah mangsa.

Kedua-dua cerita ini antara beribu kisah menge­nai ‘kerana mulut, badan binasa’. Selain itu, banyak pengajaran yang boleh dipelajari termasuk menghormati kerjaya serta kekurangan orang lain. 
Sama-samalah kita menjaga tutur kata kerana tutur kata yang sopan lahir daripada hati yang ikhlas dan pe­rasaan hormat.

Tidak guna berkata kasar, menghina atau mengejek kerana semuanya itu akan mengundang perkara yang lebih buruk.

Sesungguhnya dalam agama Islam juga ada menyebut, jika anda tidak mampu berkata yang baik-baik lebih elok sekiranya diam.

Meminjam kata-kata pelakon dan penyanyi terkenal Fattah Amin, Cakap yang baik-baik, doa yang baik-baik. Akhirnya. Berfikir sebelum berkata-kata.