Tindakan Kabinet membatalkan kontrak projek bawah tanah MRT2 yang dianugerahkan kepada gabungan Gamuda-MMC akan menyebabkan 20,000 pekerja dikhuatiri hilang punca pendapatan.

Walaupun kerajaan memberi jaminan kontrak itu akan diteruskan menerusi tender terbuka namun ia tidak menjamin masa depan semua pekerja terlibat.

Dalam tempoh pelaksanaan semula tender, apakah pekerjaan yang boleh dilakukan mereka untuk mencari rezeki menyara kehidupan keluarga?

Pastinya mereka yang terlibat buntu dan pening memikirkan masa depan yang tidak menentu dalam situasi pasaran kerja yang lembap ketika ini.

Satu perkongsian luahan perasaan di Facebook yang dibuat oleh Hasnah Ahmad menyatakan bagaimana dia mahu meneruskan kehidupan jika tiada punca pendapatan?

Ibu tunggal kepada seorang anak berusia lima tahun itu memberitahu, rezekinya ketika ini adalah projek bawah tanah MRT2 tersebut.

“Aku down gila, menangis memikirkan masa depan anak aku,” tulisnya.

Keadaan ini juga pernah dirasai ribuan pekerja syarikat penerbangan terkenal negara, Malaysia Airlines (MAS) beberapa tahun lalu yang terpaksa mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

Kakitangan syarikat tersebut terpaksa mene­rimanya sebagai qada dan qadar dalam usaha ter­akhir menyelamatkan MAS daripada terus menanggung kerugian berbilion-bilion ringgit.

Akibatnya kakitangan syarikat penerbangan itu terpaksa mencari pekerjaan baharu dalam keadaan usia yang menjangkau senja.

Ada antara mereka mencari jalan mudah dengan menjadi pemandu GrabCar. Bagaimanapun, terdapat bekas kakitangan MAS berjaya menjalankan bisnes dan mendapat pekerjaan baharu yang lebih baik.

Diberhentikan kerja adalah sesuatu perkara yang sangat ditakuti dan bukan disukai semua orang tidak kira apa skim yang ditawarkan termasuk VSS.

Bagaimanapun, mahu tidak mahu, mereka yang makan gaji dalam sektor swasta memang terpaksa berdepan risiko tinggi ini sekiranya syarikat sedang mengalami masalah kewangan yang tenat.

Tiada jaminan 100 peratus sesebuah syarikat waima­ bertaraf antarabangsa atau keramat akan mampu bertahan selama-lamanya dalam mengharungi suasana ekonomi dan senario politik yang berubah.

Hanya mereka yang berkhidmat dalam sektor awam terjamin masa depan serta selesa kecuali jika mereka ditamatkan perkhidmatan kerana melakukan jenayah berat.

Pekerja sektor swasta yang telah bekerja selama berpuluh-puluh tahun pastinya akan terkesan apabila terpaksa mengambil VSS melainkan mereka yang tinggal beberapa tahun sahaja lagi untuk bersara.

Ia tentunya satu keputusan yang paling sukar dalam hidup dan memerlukan beberapa hari untuk memikirkannya. Ada pro dan kontra dalam membuat keputusan itu sehingga mereka akhirnya berada dalam dilema.

Apa pun, pilihan perlu dibuat dengan pertimba­ngan waras kerana jika tiada keputusan daripada diri sendiri, orang lain yang mungkin membuat keputusan untuk diri kita.

Cabaran orang makan gaji sektor swasta