Masing-masing cuba melipatgandakan amalan soleh, menjadikan diri lebih baik daripada bulan-bulan biasa. Pun begitu, ramai juga yang mengambil kesempatan mahu menurunkan berat badan, sesuai dengan perintah Allah yang mewajibkan umat Islam menahan lapar dan dahaga pada siang hari.

Justeru, bagi mereka yang mempunyai masalah berat badan berlebihan, sudah tentu ramai yang meletakkan sasaran berapa jumlah kilogram (kg) lemak dalam badan yang perlu dinyahkan sepanjang Ramadan.

Syukurlah, ramai yang telah berjaya dan bahkan ada yang boleh bergaya pada Aidilfitri kali ini dengan pakaian bersaiz baharu!

Jika tidak banyak mana pun kg yang turun, pasti angka-angka pada alat penimbang masing-ma­sing tidak akan sama seperti sebelum Ramadan me­lainkan anda sendiri tidak mempedulikan langsung diet pemakanan sepanjang bulan puasa.

Namun sama seperti soal ibadah, kemampuan kita untuk kekal istiqamah (konsisten) dalam menjaga diet dan mengekalkan berat badan semasa Ra­madan merupakan tugas yang sangat sukar.

Oleh itu, janganlah terkejut sekiranya impian itu gagal dicapai sebalik­nya berat badan kembali naik ketika Syawal menjelma ekoran tidak mampu menahan nafsu sewaktu menziarahi sanak saudara atau memenuhi undangan majlis-majlis rumah terbuka.

Siapa yang mampu menolak pelbagai juadah raya berkalori tinggi seperti lemang, ketupat dan rendang yang menyelerakan terhidang di atas meja dan hanya menunggu untuk dijamah.

“Tambahlah rendang itu, bukan selalu awak datang ke rumah pak cik.” “Jangan segan, jangan malu, lemang itu ada berbatang lagi yang belum dibuka.”

Demikian kata-kata tuan rumah yang wajib untuk tidak dihampakan. Jika yang mempersilakan makan itu berpangkat ibu atau bapa saudara, lagi susah untuk kita mengatakan tidak.

“Mak cik tengok awak jamah sikit, tak sedapkah makanannya?” “Tahulah awak tu berdiet, tapi macam tidak sudi saja beraya di sini.”

Walaupun perut sudah kenyang (seadanya), mana mungkin kita menolak pelawaan ikhlas tuan rumah. Adab berkunjung dijunjung, matlamat kekalkan berat disanjung. Itulah cabaran yang harus ditempuh oleh kebanyakan kita lebih-lebih lagi terpaksa berdepan dengan realiti budaya beraya sebulan.

Segala usaha dan pengorbanan pada bulan Ramadan seakan-akan menjadi sia-sia. Lebih teruk apabila jumlah berat badan bertambah berkali ganda melebihi jumlah berat yang hilang semasa berpuasa.

Justeru, berbaki kira-kira dua minggu Syawal ini, pilihlah makanan mengikut piramid makanan iaitu makanan yang tinggi gula, lemak dan minyak perlu diambil dalam kuantiti yang sedikit walaupun semasa perayaan.

Lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam setiap hidangan yang diambil manakala makanan yang berkarbohidrat dan berprotein hanya diambil dalam kuantiti yang sederhana mengikut keperluan kalori sendiri.

Berusahalah istiqamah dalam urusan ibadah dan diet pemakanan. Secara peribadi, sepanjang Sya­wal ini saya dihimpit rasa susah hati. Saya sentiasa berdoa agar seluar raya baharu bersaiz 35 yang dibeli sebelum Aidilfitri baru-baru ini dapat terus disarung untuk satu tempoh yang panjang!