Hari Nakba atau Hari Malapetaka dijadikan sebagai hari yang akan diingati setiap tahun oleh penduduk Palestin iaitu kemuncak pengusiran kira-kira 750,000 orang daripada rumah dan tanah air mereka.

Sebelum Hari Nakba, jumlah penduduk Palestin sekitar 1.7 juta orang dan ketika itu orang Yahudi hanya berjumlah dalam lingkungan 31 peratus dan mereka memiliki tidak lebih daripada enam peratus tanah.

Sejak kejatuhan selepas Hari Nakba, rakyat Palestin terus ditindas, sesiapa yang enggan keluar daripada sempadan jajahan Israel akan dibunuh, rumah dibakar sekali gus menjadikan mereka pelarian di tanah air sendiri.

Kekejaman demi kekejaman berterusan, tiada yang dibenar kembali ke kampung-kampung asal mereka sehingga hari ini. Dilaporkan lebih 400 kampung ‘lenyap’ begitu sahaja selepas penduduk di situ diusir dan rumah dibakar sebelum jentolak meratakan tanah-tanah berkenaan.

Berdasarkan laporan media antarabangsa, taktik pengusiran dan melenyapkan kampung penduduk asal ini turut dilakukan oleh kerajaan Myanmar bagi menghapus bukti kekejaman selain menidakkan hak etnik Rohingya pulang selepas campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Berbalik kepada penderitaan penduduk Palestin, hari kedukaan mereka sekali lagi ditandakan sebagai hari bersejarah kepada rejim Zionis apabila Amerika Syarikat (AS) merasmikan bangunan kedutaan baharu di Baitumuqaddis.

Pejabat kedutaan AS sebelum ini berpusat di Tel Aviv dan pemindahan itu sebagai bukti sokongan Washington kepada Israel dalam mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara mereka.

Tindakan itu ternyata membangkitkan kemarahan dalam kalangan penduduk Palestin kerana baik Israel mahupun AS tidak layak untuk menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara rejim berkenaan.

Pembukaan pejabat kedutaan tersebut jelas menunjukkan sikap bongkak dan angkuh Presiden AS, Donald Trump dalam memberikan sokongan kepada sekutu Yahudinya dengan mengetepikan sejarah, usaha perdamaian antara Israel dan Palestin serta pandangan negara antarabangsa

Pada Perhimpunan Agung PBB Disember lalu, sebanyak 128 negara menolak keputusan AS mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel. Sembilan negara menyokong usul tersebut dan 35 negara lain berkecuali dalam undian berkenaan.

Justeru, adalah tidak adil jika AS mengambil pendirian menolak suara majoriti di PBB, malah dengan sombong mengancam untuk mengambil tindakan terhadap negara yang tidak menyokong dengan tekanan ekonomi, sekatan bantuan dan sebagainya.

Seorang Senator AS, Bernie Sander dengan lantang berkata, apa yang dilakukan oleh Washington itu bakal mempercepatkan lagi usaha ‘melenyapkan’ Gaza dan Palestin daripada muka bumi.

Katanya, selepas lebih 70 tahun berdepan konflik pengusiran dan lebih 50 tahun dijajah, penduduk Palestin hari ini muncul sebagai antara bangsa paling tertindas di dunia.

“Berdasarkan kajian Bank Dunia sebanyak 80 peratus penduduk Palestin bergantung kepada bantuan antarabangsa, 40 peratus menganggur tanpa pekerjaan dan lebih 60 peratus golongan muda seakan-akan tiada masa depan,” katanya.

Masalah di Palestin bukan sekadar itu, sekatan dan tekanan daripada Israel turut menyebabkan rakyat berdepan masalah pencemaran, penyakit dan kekurangan makanan.

Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita semula berdoa agar Allah memberkati penduduk Palestin serta memberi semangat kepada mereka untuk terus berdepan dengan cabaran dan penindasan.