Bagi guru tahun satu, rutin yang sama mereka perlu tempuhi. Budak tujuh tahun yang masih belum mendengar kata merengek-rengek, berkejar-kejaran dan menjerit di dalam kelas diberi perhatian sepenuhnya. Itu belum lagi kes kecemasan di mana ada yang terberak atau terkencing di dalam bilik darjah.

Sehingga kini, saya tidak dapat menyembunyikan rasa kagum terhadap kesungguhan guru-guru tahun satu. Komitmen, kesabaran dan kecekalan mereka wajar diberi penghormatan sewajarnya!

Pada tahun ini, anak bongsu saya memasuki tahun satu. Pada pertemuan bersama guru kelas semasa hari orientasi, antara perkara penting yang dibincangkan adalah pembentukan Jawatankuasa Sarana.

Penubuhan jawatankuasa ini sangat perlu kerana ia merupakan saluran kerjasama dan komunikasi antara ibu bapa, murid dan pentadbir sekolah.

Selain itu, perkara ‘serius’ lain yang diputuskan adalah penubuhan kumpulan WhatsApp kelas yang melibatkan ibu atau bapa murid. Pihak pentadbir sekolah mewajibkan setiap guru kelas mewujudkan kumpulan WhatsApp masing-masing.

Jika medium komunikasi ini diwajibkan di seluruh negara, terdapat sekurang-kurangnya 281,218 kumpulan WhatsApp kelolaan cikgu kelas dengan mengambil kira dua pertiga daripada jumlah keseluruhan guru di seluruh negara iaitu seramai 421,828 orang.

Rentetan itu, bermula sesi persekolahan tahun ini, saya dan isteri dijemput menyertai 12 kumpulan WhatsApp baharu melibatkan kelas anak-anak dan persatuan serta kelab yang mereka sertai.

Secara peribadi, saya sangat mengalu-alukan medium komunikasi seperti ini. Tetapi apa yang menggusarkan saya adalah pendekatan seperti ini pastinya akan menyusahkan guru yang terlibat, mengurangkan masa privasi mereka.

Sudahlah penat mendidik di dalam kelas, guru pula terpaksa menjadi admin (pentadbir kumpulan WhatsApp) melayani pelbagai pertanyaan, kerenah ibu bapa yang bertanyakan itu dan ini di luar waktu persekolahan.

Walaupun matlamat mewujudkan kumpulan WhatsApp di sekolah dianggap murni kerana memudahkan komunikasi pelbagai pihak, saya cukup bimbang kita sebenarnya sedang mendidik ge­nerasi senang-lenang, satu kelompok yang mahu semuanya tersedia, hendak mudah belaka.

Apa sebenarnya ada dalam kumpulan WhatsApp sekolah anak? Sepatutnya ia digunakan guru menyebarkan makluman terbaharu, perubahan jadual dan aktiviti yang dirancang demi kebaikan anak. Namun yang berlaku pula sebaliknya.

“Cikgu, boleh tolong tengokkan beg anak saya, dia bawa botol air tak ke sekolah?” “Cikgu, tolong pesan kepada anak saya supaya minum air masak hari ini.” “Cikgu, anak saya kehilangan bekas pensel, boleh cikgu carikan?” “Ustaz, boleh lebihkan masa mengaji untuk anak saya?”

Saya yakin, pertanyaan bersifat arahan ini tidak wajar dilakukan apatah lagi dikongsi melalui kumpulan WhatsApp kelas tetapi ibu bapa terbabit sebenarnya mungkin tidak tahu wujudnya fungsi private messages (mesej peribadi) pada telefon bimbit mereka. Pun begitu, ada juga ibu bapa yang menggunakan nama anak untuk berkomunikasi.

“Cikgu, anak saya tanya esok pakai baju (uniform) apa?” “Cikgu, anak saya tidak sempat salin apa yang perlu dibawa ke kelas untuk subjek Pendidikan Seni esok. Boleh cikgu kongsi di sini?” “Ustazah, anak saya tidak faham soalan kerja rumah. Boleh ustazah jelaskan soalan yang nombor dua itu?”

Itu belum lagi perbuatan segelintir ibu bapa menggunakan kumpulan WhatsApp bergosip sesama sendiri tentang hal masakan, mempromosi bisnes dan fahaman politik. Rasa menyampah ini hampir membuatkan ramai mahu cepat-cepat keluar daripada kumpulan WhatsApp berkenaan.

Hakikatnya, penyakit mahu semua tersedia ini berjangkit dan terbawa-bawa kepada pelajar institusi pendidikan tinggi. Saya turut tumpang simpati kepada para pensyarah yang mengajar pelajar diploma, ijazah mahupun pascasiswazah.

Mereka juga terpaksa melayan pelbagai mesej dan pertanyaan tidak masuk akal daripada pelajar yang tidak kena waktu. Lebih daripada itu, ada yang secara terang (tidak malu) menagih soalan ujian bocor.

Saya tumpang simpati kepada golongan pendidik. Apa pun, saya tidak pasti sejauh mana kumpulan WhatsApp kelas ini mampu membentuk budaya berdikari dalam kalangan ibu bapa, murid dan pelajar. Tanpa sedar, kita sebenarnya bakal melahirkan ge­nerasi pemalas dan meminta-minta ha­nya melalui hujung jari.