Tahun itu juga tahun berjaga malam bagi kaki gila bola selain tahun buat duit bagi  restoran larut pagi khususnya restoran mamak.

Ini disebabkan piala dunia muncul lagi.

Rasanya macam semalam penulis menyaksikan Brazil, pasukan pilihan ramai dibelasah lumat oleh tim Jerman.

Ramai tak sabar-sabar lagi menunggu dua peristiwa besar yang ditakdirkan berlaku pada tahun 2018.

Sabar, tahun 2018 pasti muncul. Tahun  2017 sama ada kita mahu atau tidak, ia tetap akan meninggalkan semua orang.

Moral ceritanya, masa tidak menunggu kita. Kita sahaja yang asyik menunggu masa, buang masa dan buat kerja sia-sia.

Manusia yang menunggu masa dan membiarkan ia berlalu begitu sahaja, sudah tentulah dia insan yang paling rugi di muka bumi ini.

Cuba buka semula diari peribadi 2017, mungkin banyak perkara yang dirancang untuk dilakukan tahun itu.

Tanya diri  sendiri, berapa banyak yang sudah menjadi realiti.

Kita boleh tipu orang lain malangnya,  kita tidak boleh perdaya diri kita sendiri.

Tahun 2018, rancang lagi, mungkin azam yang tak sempat dibereskan tahun itu dibawa semula ke tahun 2018. Azam itu diberi suntikan dan wajah baharu.

Apa yang sepatutnya diberikan nafas baharu ialah sikap insan itu sendiri. Itu yang jarang diberikan perhatian. Sikap individu itu sendiri yang menentukan jatuh bangun azam tersebut.

Apa pun, manusia lazimnya,  ‘panas’ dan berkobar-ko­bar semangatnya yang mampu bertahan seminggu selepas tahun baru.

Lepas itu, azam tinggal azam, yang teruknya kalau individu itu kemudian balik kepada perangai buruknya.

Insan yang tidak ada azam pun ada masalah juga. Insan kelompok ini seakan-akan tidak ada hala tuju dan sasaran 2018. Kata orang ikut angin saja.

Binalah azam yang boleh dicapai, tidak di luar kemampuan. Sebagai kiasan saja: kalau bulan pun mustahil dicapai, ja­ngan pula matahari hendak didakap. Itu satu perbuatan yang sia-sia dan tidak berfaedah.

Setiap tahun orang kata tahun  mencabar. Tahun  2018 juga disifatkan lagi mencabar. Kalau sudah begitu, ayuh susun strategi untuk menghadapi detik tersebut.

Memang betul, tidak semua yang dirancang akan membuahkan hasil.

Syarikat-syarikat besar misalnya juga mempunyai beraneka perancangan malah berwarna-warni. Malangnya hujung tahun kesudahannya kadang-kadang mengecewakan.

Tak perlu meratap kalau sasaran tidak berjaya dicapai. Tak perlu juga mencari ‘kambing hitam’ untuk dikorbankan andai perancangan tak menjadi.

Apa yang penting cari jalan bagaimana yang ‘tak jadi’ itu boleh dipusing sehingga menguntungkan semua orang termasuk syarikat berkenaan.

Kelebihan berbuat begitu yang tidak terdapat pada kebanyakan individu termasuk syarikat.

Sudah tentulah keistimewaan ini terdapat pada insan yang berjiwa besar serta tidak mudah tunduk pada kekalahan serta kekecewaan.

Di samping bijak menukar perkara negatif menjadi positif.

Soalnya adakah kita termasuk dalam kategori orang yang hebat-hebat itu. Tanya minda tengok sejarah pencapaian hidup kita semua.

SAPU BERSIH: Nak tengok kawasan Nilai termasuk Kota  Seriemas bebas daripada gangguan anjing liar dan babi  pada tahun 2018. Itu janji pihak berkuasa dan Perhilitan.
Buat pembaca, semoga 2018, tahun anda cipta kejayaan.