Mohamad yang juga Pre­siden Parti Amanah Negara berkata, ketika menjadi pembangkang amat mudah ke­rana hanya perlu membangkang dan mencari kelemahan pihak lawan.

“Bagaimanapun, sekarang setiap patah kata akan dianalisis oleh kawan dan lawan. Kalau tersalah cakap, kita kena betulkan segera. Susah rupa­nya jadi pemerintah.

“Dahulu kalau di pentas ceramah, lagi kita pandai hentam, lagi orang tepuk,” katanya dalam program Bicara Minda di Kompleks Karangkraf di Shah Alam, Selangor bulan lalu.

Baru kita sedar menjadi seorang pemimpin kerajaan bukanlah perkara yang mudah seperti difikirkan terutama­nya dalam menjaga kepenti­ngan rakyat dan negara.

Tersilap kata, terlepas cakap atau terlalu jujur, pasti akan menjadi bahan lawak atau kutukan. Bulan lalu, ba­nyak perkataan yang menjadi isu dan menerima kecaman pelbagai pihak.

Antaranya ialah perumpa­maan ikat perut yang di­nyatakan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada majlis Perhimpunan Perdana Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Per­khidmatan Awam di Serdang, Selangor.

Perdana Menteri dalam ucapannya meminta rakyat termasuk penjawat awam ikat perut sedikit bagi me­ngurangkan perbelanjaan ke­ra­jaan sementara ekonomi negara dijangka pulih semula dalam tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun, seruan itu disambut sinis rakyat kerana merasakan kerajaan yang dipilih sepatutnya membantu mereka dan bukannya rakyat pula perlu membantu kerajaan.

Selepas itu, muncul pula perkataan tahi pada sidang Dewan Rakyat apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof hilang sabar selepas diasak bertalu-talu oleh Ahli Parlimen pembangkang me­ngenai isu Lembaga Tabung Haji (TH).

Mujahid menujukan perkataan itu kepada kerajaan dan pengurusan TH dahulu yang didakwa telah menyebabkan TH mengalami defisit RM4.1 bilion.

Selain itu, terdapat juga saranan yang tidak dapat diterima rakyat seperti me­minta mereka minum sesudu minyak sawit sehari kerana ia dikatakan mengandungi pelbagai khasiat.

Langkah itu sebenarnya mahu rakyat menjadi duta produk minyak sawit negara yang kini diboikot negara Kesatuan Eropah ekoran salah faham tentang kebaikan sebenar produk tersebut.

Bagaimanapun, saranan yang dianggap pelik itu menyebabkannya ia sekadar menjadi bahan lawak.

Itu baru kenyataan, belum lagi melibatkan rancangan masa depan seperti pemba­ngunan projek kereta terbang yang awal-awal lagi menerima kecaman apabila model yang dipamerkan didakwa tidak futuristik.

Memang susah menjadi pemimpin dalam dunia tanpa sempadan ini. Jika dahulu, kenyataan-kenyataan pe­mim­pin kerajaan yang berunsur kontroversi sukar dibaca melainkan agensi media me­laporkannya.

Namun sekarang, jika tersilap kata atau terlepas cakap, ia akan terus tular di media sosial dan netizen akan mula ‘membawang’.

Begitu juga menjadi bos dalam sesebuah organisasi atau syarikat. Bukan mudah untuk membuatkan semua kakitangan sukakan bos.

Jika terkasar bahasa atau terlebih teguran, pasti tidak disukai dan akan menjadi bahan cacian pekerja-pekerja.

Tidak cukup dengan itu, Facebook akan menjadi ‘dinding’ mereka untuk mengutuk bos bos bagi melepaskan geram.

Sebab itu ada segelintir pekerja yang tidak mahu menjadi orang nombor satu dalam organisasi walaupun dapat menyandang jawatan paling tinggi dan bergaji besar.

Mereka lebih sanggup menjadi orang nombor dua, tiga atau empat kerana bebanan yang ditanggung lebih ringan.

Jika berjaya menjadi seorang pemimpin atau bos yang terbaik, mereka sebenarnya bukanlah insan yang biasa biasa kerana biasa biasa sukar memikul bebanan yang berat.