Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan hemoi ditakrifkan sebagai tidak malu dan tebal muka, namun mengikut pengertian penduduk di dua negeri itu, hemoi memberi makna merendah diri, peramah serta suka melawak.

Budaya tersebut yang diterapkan sejak turun-temurun menjadikan suasana kemasyarakatan di negeri itu harmoni dan mesra.

Lebih membanggakan, sifat ramah tersebut yang menjadi amalan kebanyakan warganya tanpa mengira bangsa, agama dan peringkat umur.

Malah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ketika merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 baru-baru ini menitahkan penduduk di negeri itu agar tetap hemoi dalam apa-apa juga situasi, baik dikeji atau dipuji.

Selain itu, kerajaan negeri Perlis beberapa tahun lalu pernah merancang ingin mempopularkan perkataan hemoi yang cukup serasi dengan penduduk di negeri tersebut.

Penulis yang pernah menetap di Kedah dan Perlis sebelum ini secara jujur mengakui cukup teruja dengan amalan murni itu yang ditunjukkan sebahagian besar penduduk di negeri-negeri berkenaan.

Selama beberapa tahun tinggal di dua negeri itu, penulis dapati kebanyakan penduduknya juga hormat-menghormati dalam kehidupan berjiran dan komuniti.

Malah rakan-rakan dari negeri lain yang berkunjung di dua negeri itu juga turut mengagumi budaya yang menjadi amalan masyarakatnya.

Kemesraan jiran-jiran yang sentiasa hemoi menggembirakan penulis sekeluarga yang berada di perantauan, malah seolah-olah menjadi sebahagian daripada ahli keluarga penulis.

Jiran-jiran yang sentiasa hemoi itu juga menjadi pengubat rindu penulis kepada keluarga yang jauh di kampung halaman.

Penulis turut mendapati masyarakat di dua negeri itu masih mengamalkan banyak lagi aktiviti mulia seperti bertanya khabar kesihatan jiran dan anak-anak mereka serta bertukar-tukar juadah atau kuih-muih.

Amalan ‘jaga tepi kain orang’ untuk kebaikan bersama mungkin tidak lagi dipraktikkan terutamanya di kawasan bandar di beberapa buah negeri lain.

Malah, penduduk di negeri itu yang ramah dan suka melawak didapati telah mengeratkan lagi hubungan mereka.

Suasana ceria dan meriah itu sentiasa dapat dilihat dalam kalangan penduduk apabila mereka saling melawak ketika bertemu.

Bagaimanapun, terdapat dalam kalangan mereka yang melawak ‘kasar’ namun mereka telah faham dan tidak mengambil hati atas setiap gurauan itu.

Selain itu, walaupun suasana politik di Kedah dan Perlis sentiasa ‘panas’, namun hubungan antara penduduk tetap mesra serta erat apabila mereka mengetepikan fahaman politik masing-masing.

Atas semangat kerjasama itu, penulis mendapati masih banyak majlis keraian seperti kenduri perkahwinan diadakan secara gotong-royong yang melibatkan tenaga penduduk setempat.

Kemeriahan majlis kenduri yang diadakan secara gotong-royong itu lebih meriah dan terserlah dengan gurau senda serta gelak tawa.

Penulis mengharapkan sifat hemoi itu terus diwarisi oleh generasi baharu agar keakraban dan kesejahteraan dalam kalangan masyarakat kekal terjalin erat.

Sesuatu yang merugikan sekiranya penduduk di dua negeri berkenaan selepas ini tidak lagi hemoi seperti sekarang.