Pada hal sejarah itu terjadi mungkin untuk manusia jadikannya sebagai pedoman dan iktibar untuk tidak mengulangi kesilapan serupa pada masa hadapan.

Banjir kilat misalnya bukan fenomena baharu di bumi bertuah ini. Lazimnya sistem perparitan dipersalahkan,

Bagaimanapun bila banjir luar biasa lagi menakutkan seperti peristiwa bah kuning yang menenggelamkan tanah Kelantan beberapa tahun lalu, jangan dituding jari kepada hujan semata-mata.

Pihak-pihak terbabit kena perhatikan juga aspek-aspek lain termasuk nasib hutan belantara di negeri terlibat.

Dalam pada itu, sejarah bisa berulang sekiranya tragedi malang bah kuning dibiarkan negeri Kelantan sahaja yang melakukan bedah siasat.

Kata orang, bila kawan sakit, kita kena tolong dan jangan menambahkan lagi penderitaan kawan kita itu.

Kadang-kadang kita lupa, musibah tanpa diduga itu boleh menimpa kita pula.

Inilah yang terjadi ketika sebahagian besar rakyat negara ini tenggelam dengan debaran Piala Malaysia, bandar raya George Town pula ‘berduka’ daripada pemimpinnya hinggalah rakyat biasa.

Jantung Pulau Mutiara itu tidak semena-mena mati seketika. Tubuhnya lumpuh, Seperti biasa, semua orang mencari punca ‘Pulau Pinang pula menangis’.

Jangan pula hujan tanpa henti dijadikan kambing hitam.

Untuk mencari punca musibah berjangkit itu, tidak perlu pergi jauh. Cukup dengan menghantar dron umpamanya di kawasan berbukit, 99 peratus jelas terserlah jawapannya.

Soalnya, sanggupkah pihak-pihak yang diberi tanggungjawab menjaga negeri dan negara menerima hakikat itu dan paling penting berubah sikap?.

Era pemimpin tahu semua dan tidak boleh ditegur secara berhemah sudah lama berlalu dalam dunia baharu yang menyaksikan semua orang mempunyai akses kepada maklumat global, hanya di hujung jari sahaja.

Ini juga bermakna, dalam zaman siber ini, apa jua kelemahan atau kekurangan tidak dapat di­sembunyikan di bawah tikar permaidani.

Kisah bah kuning di Kelantan dan George Town ‘menangis’ perlu diambil pengajarannya oleh semua orang termasuk pihak berkuasa tempatan dan pemimpin negeri serta negara.

Moral ceritanya, kita tidak boleh bersikap hangat-hangat tahi ayam yang ‘panas’ ketika tragedi buruk berlaku. Bila keadaan sudah kembali sejuk, perangai lama diteruskan semula,. Parit dibiarkan tersumbat. Bukit diratakan.

Hutan digondolkan kononnya atas nama pembangunan.

Untuk berdepan dengan bala yang lahir dalam pelbagai bentuk, perpaduan dan semangat ‘sehati sejiwa’ amat diperlukan dalam kalangan rakyat serta pemimpin.

Tangani masalah itu semasa ia masih kecil. Bila besar dan di luar kawalan, ia akan menikam kita pula.

Bersatulah dalam memerangi musuh negara termasuklah gejala rasuah, pendatang asing tanpa izin, najis dadah dan militan.

Belajarlah daripada sejarah bah kuning di Kelantan dan Pulau Pinang supaya negeri dan negara terselamat daripada bencana alam dan musuh tidak diduga yang boleh muncul sekelip mata dalam pelbagai bentuk yang ‘terang lagi bersuluh’ dan bersifat halimunan.

SAPU BERSIH: Demam pilihan raya semakin terasa. Yang layak mengundi pergilah mendaftar. Wakil rakyat pula semak-semaklah rekod kerja anda.

Pilihan raya kali ini cukup istimewa untuk dibiarkan berlalu begitu sahaja. Sebabnya, ia adalah ibu segala pilihan raya.