Bagaimanapun, kerajaan Pakatan Harapan (PH) kembali berminat untuk melaksanakan dasar itu. Minat itu telah menyebabkan timbul perdebatan dalam kalangan ahli akademik, guru, ibu bapa dan orang ramai berhubung kemungkinan pelaksanaan semula dasar tersebut.

Sebuah stesen radio tempatan baru-baru ini juga mengupas isu yang sama. Penulis yang sedang memandu kereta turut mendengar komen daripada guru dan ibu bapa yang disampaikan melalui te­lefon berhubung pelaksanaan semula PPSMI.

Ada yang tidak bersetuju supaya dasar itu diper­kenalkan semula. Antara alasan dikemukakan adalah pelajar-pelajar berasa sukar untuk memahami pengajaran Sains dan Matematik yang disampaikan dalam bahasa Inggeris.

Justeru, guru yang mengajar itu terpaksa menggunakan bahasa Melayu untuk memudahkan kefahaman pelajar-pelajar tersebut. Memanglah sukar untuk memahami mata pelajaran Sains dan Matematik. Mata pelajaran Sains dan Matematik memerlukan otak ‘ligat’ berfikir.

Walaupun sukar, terdapat juga rakyat Malaysia yang mampu mendapat keputusan A dalam mata pelajaran itu seperti peperiksaan Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

Situasi itu menunjukkan teknik pembelajaran yang betul boleh menghasilkan keputusan yang cemerlang. Susah tetap susah. Keputusan cemerlang itu juga akan membantu pelajar tersebut menguasai kursus yang diajar di universiti jika berjaya me­lanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi.

Penulis berpendapat, cara pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah kerajaan perlu dikaji semula. Ia perlu kelihatan menarik dan menyeronokkan. Sukatan pelajaran bahasa Inggeris di sekolah juga perlu dikaji semula.

Kajian semula itu perlu dilakukan kerana para pelajar telah didedahkan dengan mata pelajaran bahasa Inggeris di sekolah kerajaan sejak berusia 7 tahun sehingga ke tingkatan lima. Namun, masih lagi terdapat ramai rakyat Malaysia yang gagal me­nguasai bahasa itu dari segi pertuturan dan penulisan terutamanya di kawasan luar bandar.

Penulis berpendapat Kementerian Pendidikan perlu memperkasakan lagi cara pembelajaran mata pelajaran bahasa Inggeris. Penulis teringat cara anak saudara penulis yang tinggal di Kuala Kangsar me­nguasai bahasa Inggeris ketika dia masih kecil.

Anak saudara penulis itu minat membaca komik dan menonton kartun yang disiarkan dalam bahasa Inggeris. Minatnya itu menyebabkan dia mendalami bahasa Inggeris. Akhirnya, anak saudara penulis itu berjaya memperoleh diploma dalam kursus pengajaran bahasa Inggeris di sebuah kolej di Kuala Lumpur.

Penulis juga memahami ada beberapa kategori pelajar. Ada yang pintar, sederhana pintar dan lambat menerima pembelajaran yang diajar. Kesemua kategori itu perlu diambil kira oleh guru dan pembuat dasar sukatan mata pelajaran Inggeris.

Justeru, sistem pembelajaran bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah juga perlu diperkasa kerana ia penting bagi memudahkan para pelajar memahami pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik yang diajarkan dalam bahasa itu sehingga ke peringkat sekolah menengah.