Tiada siapa juga pernah terbayangkan bahawa pada usia menghampiri persaraan dalam lapangan sukan, manusia itu masih mampu mencipta legasi.

Luka Modric, seorang bekas pelarian Perang Balkan hanya berusia enam tahun ketika perkampungannya di pekan Zadar, Croatia musnah dalam peperangan bagi menuntut kemerdekaan.

Pekan Zadar yang terletak di pesisir Laut Adriatik hanya mempunyai kira-kira 75,000 orang penduduk, me­nyamai jumlah pengundi Parlimen Port Dickson di Malaysia.

Kini, selepas 27 tahun pada detik yang menyaksikan datuknya mati dibunuh tentera Yugoslavia, Modric bangkit mencipta legasi teragung.

Awal pagi Selasa lalu, ahli sukan berusia 33 tahun itu telah melakar sejarah gemilangnya.

Di bumi kota cinta Paris, Modric telah dinobatkan sebagai pemenang anugerah Ballon d’Or 2018, iaitu pengiktirafan tertinggi yang diberikan kepada mana-mana pemain bola sepak terbaik dunia.

Tidak seperti Cristiano Ronaldo mahupun Lionel Messi, Modric bukannya dilahirkan dengan bakat semula jadi yang sempurna.

Pada tahun 2013, perancang tengah Real Madrid itu pernah diundi dan diletakkan dalam senarai teratas sebagai pembelian terburuk yang dilakukan oleh mana-mana kelab di Liga Sepanyol.

Begitupun, Modric berjaya bangkit dengan keazaman dan sikap merendah diri. Pemain ini bijak menyesuaikan diri, mampu mencipta pengaruh sebagai kapten (pemimpin) sehingga akhirnya dirinya dihormati kawan dan lawan.

Kini, pemain yang mempunyai ketinggian 1.72 meter, sama seperti penyerang Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha itu telah berada di puncak karier sebagai seorang pemain bola sepak.

Selain itu, pengiktirafan yang diterima Modric turut membolehkan legasi hampir sedekad yang dibina Ro­naldo dan Messi berakhir. Sesuatu yang amat mustahil dilakukan oleh mana-mana pemain dekad ini.

Ironinya, mencipta legasi bukanlah satu kerja yang mudah. Ada yang perlu dikorbankan dan ada juga yang perlu berkorban.

Sehinggakan ke satu tahap, keterujaan memburu legasi boleh menimbulkan bibit-bibit permusuhan yang akhir­nya mengundang kemerosotan prestasi (kejatuhan). Itu yang dialami Messi dan Ronaldo saat ini.

Mengambil kira semangat Modric, legasi sebenarnya boleh dicipta dengan semangat, kesabaran dan sikap menghormati lawan. Bukan saling berdendam dan bermusuhan.

Kekurangan pula bukanlah satu halangan kerana yang lebih itu pada asalnya bermula daripada yang kurang. Paling penting ialah bagaimana kita mengisi kekurangan itu.

Mungkin juga aura legasi terdahulu sukar dilupakan, apatah lagi untuk dihilangkan.
Bagaimana mungkin kehebatan Messi dan Ronaldo boleh hilang begitu sahaja. Ia mengambil masa yang panjang untuk dilakukan.

Hari ini, sama ada Modric ataupun kita semua, masih ada sebenarnya perjuangan yang perlu diselesaikan. Jika Modric mahu memburu trofi Piala Dunia pertamanya, di pihak kita, apa yang diinginkan apabila kuasa berada di tangan? Kejayaan, kebanggaan ataupun kekayaan.

Pada akhirnya, setiap apa yang kita lakukan, sama ada baik atau buruk, berjaya atau gagal, benar atau salah, ia pasti akan menjadi sejarah.

Dan andai kata sejarah itu tidak layak untuk dibukukan, maka cukuplah ia dijadikan sebagai sejarah hidup.