Kisah itu ada yang melucukan dan kadang-kadang me­nyakitkan. Ia dianggap sebagai asam garam sebagai orang surat khabar, wartawan penyiaran dan sekarang ramai yang menjadi wartawan atas talian.

Namun sepanjang minggu lalu, tiba-tiba kisah tentang tugas wartawan menjadi isu nasional. Ada wartawan memberi komentar tentang la­yanan yang diterimanya daripada pasukan media Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Mungkin wartawan itu terasa hati kerana selama berpuluh tahun dia memberikan liputan kepada pemimpin tersebut ketika menjadi pembangkang tetapi setelah menjadi menteri, golongan wartawan se­pertinya seperti diabaikan.

Sebelum ini mungkin media arus perdana tidak memberikan liputan kepada berita-berita melibatkan pemimpin parti pembangkang. Jadi kemunculan portal berita dan media alternatif menjadi platfrom penyaluran propaganda parti pembangkang.

Kalau hendak diceritakan, media arus perdana juga kadang-kadang berdepan cabaran yang sama. Perkara tersebut sebenarnya bergantung kepada karakter seseorang pemimpin politik tidak kira parti pembangkang atau kerajaan.

Ada pemimpin yang mesra media malah begitu membantu namun ada yang bersikap ‘gayat’ hendak berdepan de­ngan wartawan.

Seperti Mohamad Sabu, ketika menjadi pemimpin pembangkang, beliau sering mengelak untuk menjawab soalan wartawan media arus perdana apatah lagi kalau me­libatkan wartawan dari Kumpulan Utusan. “Kalau Utusan saya tidak ada komen, tetapi kalau ajak bersembang kedai kopi bila-bila masa boleh.” Itu antara kata-kata Mohamad Sabu yang masih penulis ingat.

Namun apabila kisah wartawan menjadi masalah nasional dan menarik tumpuan khalayak ramai, timbul isu yang boleh sengaja dimanipulasi. Cerita tentang kenyataan akhbar berbahasa Mandarin yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tentang projek Tun Razak Exchange (TRX) tiba-tiba meletup hingga diheret menjadi perdebatan tentang isu bahasa dan soal Perlembagaan Persekutuan.

Asal kisahnya ialah sekadar perihal wartawan akhbar Cina yang sukar untuk menterjemah kenyataan akhbar dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Kenyataan Guan Eng dalam bahasa Inggeris tidak pula dipertikaikan.

Namun apabila mendapat ‘peluru’ yang boleh dihala kepada Guan Eng, semua pihak mahu bersuara. Malah ada yang bertindak seperti orang yang baru bangkit dari tidur, tidak tahu apa-apa namun tiba-tiba bersuara. Tidak kurang juga yang kini menulis di Facebook dalam tulisan jawi meskipun selama ini mereka memuatkan status dalam bahasa rojak.

Kadar kemarahan naik paras suhunya dengan sikap Guan Eng yang kelihatan enggan mengaku kalah dan menyerah terhadap serangan itu apabila menjawab dalam laman Facebooknya dalam bahasa Mandarin.

Mereka yang tidak faham Mandarin terpaksa menekan terjemahan Google yang lintang-pukang untuk mengetahui isu kandungan kenyataan Menteri Kewangan itu.

Sedangkan sebelum ini, masyarakat tidak peduli apabila wartawan akhbar bahasa Melayu selama ini terpaksa menterjemah kenyataan-ke­nyataan dalam bahasa Ingge­ris. Banyak pihak seperti lena di­ulit mimpi.

Tidak ada suara mendesak tentang perlunya bahasa Kebangsaan dimartabatkan. Bahasa bangsa bekas penjajah itu dianggap sebagai lambang bijak pandai. Ada juga menteri-menteri ketika mengha­diri majlis rasmi terutamanya melibatkan program bersifat ekonomi lebih gemar berucap dalam bahasa Inggeris.

Tidak ada pula pendekar dan hulu balang yang hendak membela bahasa Melayu. Jadi akhirnya usaha memartabatkan bahasa Melayu hanya tinggal retorik.