Walaupun mereka kelihatan cuba menutup tindakan yang dianggap tidak bermoral itu, namun netizen juga lebih pantas melakukan siasatan termasuk menghubungi institusi berkaitan untuk membuat pengesahan.

Hasilnya, busuk ‘bangkai’ yang berjaya dibongkar amat sukar untuk ditutup lagi. Netizen sehingga hari ini masih menunggu kenyataan jujur dan berterus terang mengenai kelayakan masing-masing.

Bersilatlah dengan apa gaya dan teknik sekali pun. Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, sukar sekali untuk sesiapa cuba menutup pembohongan yang dilakukan.

Percayalah, semakin banyak kita berbohong, kita akan meletakkan diri dalam keadaan yang lebih sukar. Bagi rakan-rakan ‘sepakatan’ tidak perlulah untuk cuba mempertahankan pemimpin tersebut.

Usahlah keluarkan kenya­taan dangkal mempertahankan isu kelayakan akademik itu dengan membandingkan bahawa mereka bukan merogol atau mencuri. Jelik sangat alasan itu.

Isu pemimpin politik memalsukan kelayakan akademik bukanlah isu baharu kerana telah banyak kes telah terbongkar sebelum ini yang ­akhirnya bukan sahaja memalukan pemimpin terbabit tetapi juga parti yang dianggotainya.

Realitinya dalam politik, kelayakan akademik merupakan nilai tambah kepada seseorang khususnya kepada yang bercita-cita untuk terpilih sebagai calon pilihan raya atau dilantik memegang jawatan dalam agensi tertentu.

Bahkan, lagi panjang senarai kelulusan yang diperoleh ditambah dengan pengalaman dan penglibatan dalam organisasi tertentu, maka lebih besar peluang mereka untuk dipilih oleh pucuk pimpinan.

Keadaan itu menyebabkan ada pihak yang cuba mencari jalan pintas dengan memalsukan kelayakan mereka demi keuntungan peribadi.

Pemerhatian penulis mendapati, rata-rata netizen tidak mempertikaikan sama ada seseorang pemimpin itu memiliki kelayakan doktor falsafah, sarjana, sarjana muda, diploma, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau sekadar ‘sekolah atap’.

Apa yang dikete­ngahkan ialah soal integriti diri. Hal ini kerana mereka yang terpilih sebagai wakil rakyat bakal memegang portfolio menteri, timbalan menteri, menteri besar atau Exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap banyak pihak.

Mereka bukan sahaja berurusan dengan pengundi di kawasan masing-masing tetapi juga saban waktu terpaksa menyelesaikan pelbagai urusan berkaitan pelbagai agensi baik dalam dan luar negara.

Bayangkan di mana maruah negara, jika seseorang menteri atau timbalan mahu me­ngadakan rundingan de­ngan pe­mimpin negara-negara lain jika soal kelayakan akademik sendiri pun tidak sahih.

Penulis sendiri tidak mempertikaikan aspek kelayakan akademik sebagai ukuran untuk menjadi pemimpin yang cemerlang. Dalam dunia media ada wartawan yang cuma kelulusan SPM tetapi mampu melaksanakan tugas dengan penuh integriti dan cemerlang berbanding mereka yang mempunyai berlapis-lapis kelulusan akademik.

Malulah sedikit kepada siswazah kita yang bertungkus lumus meraih sekeping ijazah dan kelayakan. Menurut statistik lebih 250,000 graduan menamatkan pengajian akademik dan kemahiran di pelbagai institusi setiap tahun.

Mereka ini tidaklah mengharapkan jawatan sebagai menteri Kabinet tetapi cukup­lah jika dibuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk meneruskan kehidupan.

Memetik kata seorang netizen di media sosial: “Penat aku belajar di universiti, tinggalkan anak dan isteri semata-mata mahu mendapat seke­ping ijazah. Kalau tahu, baik beli sahaja sijil palsu. Bukan sahaja dapat jadi menteri, PTPTN pun tidak perlu bayar”.

Sebab itu, dalam isu ini, pokok pangkal ialah kejujuran. Tanpa kejujuran bagaimana kita mampu menjadi pe­mimpin yang diharapkan.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Hari Kiamat belum akan terjadi sampai nanti kabilah-kabilah dikuasai oleh orang munafik daripada kalangan mereka.” (Riwayat Thabrani)