Jika 15 tahun lalu, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan penduduk negara ini tidak begitu meluas namun dengan kemun­culan aplikasi yang canggih, syarikat pengeluar alat-alat telekomunikasi seluruh dunia berlumba-lumba mengeluarkan te­lefon pintar baharu saban tahun sekali gus memberi pilihan kepada pengguna untuk memilikinya mengikut kemampuan masing-masing.

Apa yang merisaukan banyak pihak adalah penggunaan telefon bimbit tanpa kawalan dalam kalangan kanak-kanak terutama yang masih bersekolah.

Kejadian rogol membabitkan pelakunya seorang budak lelaki berusia 12 tahun ke atas kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di Batu Gajah, Perak baru-baru ini membuka mata orang ramai.

Budak tahun enam itu dikatakan melakukan perbuatan terkutuk tersebut akibat terpengaruh selepas menonton video dalam telefon bimbit yang dihadiahkan oleh bapanya pada tahun lepas.

Tidak habis kisah di Pe­rak, penulis bertemu pula dengan seorang penjaga yang turut meluahkan kebimbangan mengenai alat peranti tersebut dalam satu pertemuan di Kajang, Selangor pada Ahad lalu.

Menurut wanita berusia lingkungan 50-an itu, kerana telefon bimbit kanak-kanak pada hari ini sanggup berlapar untuk mengumpul duit poket sekolah semata-mata bagi membeli gajet itu dan kad tambah nilai.

Ada juga yang sanggup berbohong dengan ibu bapa dan lebih teruk lagi mencuri telefon bimbit.

Kanak-kanak ini sanggup buat apa sahaja asalkan dapat memiliki telefon bimbit.

Tidak dinafikan ada pro dan kontra penggunaan telefon bimbit dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, namun jalan penyelesaian perlu dicari bagi mengelak mereka menjadi ketagih gajet.

Kebergantungan anak-anak terutama yang masih bersekolah terhadap gajet dilihat banyak membawa mudarat terutamanya pada masa akan datang sekiranya tidak dikawal.

Bukan sahaja aspek sosial dan tingkah laku malah perkembangan ke­sihatan mereka.

Pertubuhan Kesi­ha­­­t­an Sedunia (WHO) telah mewujudkan garis panduan untuk kanak-kanak bawah lima tahun termasuk me­ngurangkan gaya hidup yang tidak sihat seperti ke­rap menghadap skrin terutama telefon bimbit.

Pegawai perubatan, Dr. Latif Saad menerusi laporannya dalam Thediagnosa.com pada 4 Julai lalu memberitahu satu kajian terbaharu mendedahkan kanak-kanak yang terdedah kepada skrin pada waktu yang lama akan mempunyai perkembangan motor, kemam­puan untuk bersosial dan juga berbahasa yang lambat berbanding kanak-kanak yang lain.

Lebih membimbangkan ia turut meningkatkan obesiti, kanser, penyakit kronik dan juga kematian mengejut di awal usia di­sebabkan mereka tidak begitu aktif di awal usia.

Adakah sebagai ibu bapa, kita masih mahu berpeluk tubuh membiarkan satu demi satu kerosakan berlaku ke atas darah daging baru hendak bertindak. Sebagai individu paling dekat, ibu bapa yang perlu memainkan peranan pen­ting memantau dan tegas sebelum keadaan menjadi parah.

Penulis teringat titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar: “Biar kita tegur dan bising sekarang daripada menyesal kemudian hari. Biar dia (anak-anak) yang menangis, jangan kita (ibu bapa) menangis (kemudian hari).” Renung-renungkanlah.