Meskipun sebilangan golong­an perokok tegar melahirkan bantahan terhadap larangan itu, namun penulis percaya majoriti rakyat negara ini menyokong penuh pelaksanaan peraturan tersebut demi menjaga kemas­lahatan kesihatan orang ramai.

Sememangnya sebelum ini, selain sebagai pelanggan biasa, restoran dan warung sering menjadi port utama para pe­rokok untuk melepaskan keta­gihan sambil menikmati segelas minuman tanpa menghiraukan keselesaan apa lagi bahaya asap rokok terhadap orang lain khususnya wanita mengandung dan bayi.

Selain mengundang risiko lebih tinggi terhadap serang­an strok dan jantung, amalan me­rokok juga meningkatkan potensi penyakit berbahaya se­perti kanser paru-paru.

Rekod membuktikan kanser paru-paru merupakan penyakit yang paling kerap dialami go­longan lelaki dan amat berkait rapat dengan tabiat merokok.

Punca penyakit itu adalah kerana asap rokok mengeluarkan hampir 4,000 bahan kimia beracun dan 53 daripada bahan kimia ini boleh mengakibatkan kanser.

Dari segi kos rawatan pula, Kosmo! baru-baru ini melaporkan bahawa kerajaan terpaksa membelanjakan sekitar RM16 bilion setahun bagi merawat pesakit yang menderita pelbagai penyakit akibat tabiat merokok.

Bayangkan wang sebanyak itu sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk pelbagai kegunaan lain seperti membina sekolah, jalan raya dan perumahan kepada rakyat berpendapatan rendah.

Bagaimanapun sukar untuk dibuat telahan sama ada go­longan perokok ini mempunyai pengetahuan mengenai kesan amalan merokok ini kepada diri mereka dan kesan asap rokok itu kepada orang ramai.

Atau mereka ini tahu tetapi buat-buat tidak tahu dan tidak langsung rasa bersalah di atas perlakuan tersebut sehinggalah pihak kerajaan terpaksa melaksanakan undang-undang yang mengenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika disabitkan bersalah merokok di kawasan restoran.

Dalam hal ini, penulis tabik kepada majoriti pengusaha restoran yang kelihatan mempunyai kesedaran dengan menampal notis larangan serta menyediakan kawasan khas bagi golongan perokok iaitu pada jarak 3 meter dari premis restoran mereka.

Meskipun proses tindakan undang-undang mendakwa pe­rokok yang melanggar peratur­an telah ditangguh sehingga akhir Disember ini bagi membolehkan aktiviti penguatkuasaan pendidikan diteruskan, namun statistik menunjukkan bahawa masih banyak golongan tersebut tidak mempeduli langkah yang dilaksanakan.

Rekod menunjukkan daripada 129,180 premis yang diperiksa oleh anggota penguat kuasa, sebanyak 30,698 notis amaran sudah dikeluarkan.

Angka ini seolah-olah menjelaskan mengenai tahap kepedulian perokok terhadap kempen yang dilaksanakan oleh kerajaan masih rendah sekali gus memerlukan lebih banyak usaha bagi menjayakan la­rangan berkenaan.

Bagaimanapun cadangan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad untuk mengenakan hukuman kerja sosial seperti membersihkan tandas, memungut sampah dan memotong rumput terhadap pesalah peraturan la­rangan merokok boleh dianggap wajar.

Kita tahu bahawa bagi sebilangan perokok yang kaya, denda wang tidak memberi kesan kepada mereka. Mungkin dengan mencuci tandas atau longkang sedikit seba­nyak boleh memberi kesedaran kepada golongan ini.

Bagi menambah pengajaran kepada perokok degil itu, ada baiknya pesalah tersebut diberikan pakaian khusus supaya menjadi pengajaran kepada orang ramai agar tidak mengulangi kesalahan sama.

Malah, pihak KKM boleh menambah senarai denda hukuman kerja sosial tersebut seperti berkhidmat dengan rumah orang tua, membersihkan wad, surau dan kawasan tanah perkuburan.

Jika terus mengulangi ke­salahan sama, sebagai langkah akhir ada baik mereka ini diberi peluang menghuni bilik jeriji besi.