Begitu juga dengan kemalangan yang meragut nyawa lima sekeluarga pada pukul 2.50 pagi di Kuala Nerus, Terengganu, Februari lalu.

Pemandu juga dikatakan letih dan mengantuk tetapi tetap mahu meneruskan perjalanan kerana perlu be­kerja keesokannya.

Sudah tentu, memandu dalam keadaan letih dan me­ngantuk akan membuatkan kita hilang fokus.

Namun, mengantuk sewaktu memandu bukan perkara luar biasa, banyak faktor selain letih mempengaruhi gaya pemanduan seseorang.

Contohnya, cuaca, bentuk dan permukaan jalan.

Malah, penulis pasti ada antara kita yang pernah me­ngalami keadaan apabila tiba-tiba terlelap ketika sedang memandu atau lebih dikenali sindrom microsleep.

Sindrom ini berlaku dalam tempoh 1 hingga 30 saat tetapi dalam ketika itu, mungkin nyawa kita sudah melayang.

Microsleep terjadi tanpa amaran dan kerap berlaku apabila kita cuba melawan rasa mengantuk dan kekal berjaga untuk terus memandu.

Penulis sendiri pernah mengalami sindrom ini dan ia sangat mendebarkan apabila anda terjaga daripada ‘tidur’ itu.

Adakalanya kita rasa sudah tekan pedal minyak padahal sebaliknya, sehingga ada kereta terhuyung hayang ke kiri dan kanan jalan.

Malah, ada masanya kita tekan pedal brek walaupun laluan di hadapan lancar sehingga menyebabkan pemandu di belakang brek mengejut.

Ini adalah antara situasi microsleep yang biasanya dilalui semua pemandu. Solusinya pelbagai, ada yang me­nyapu muka dengan air, tampar pipi, kunyah gula-gula getah atau menjerit dalam kereta.

Sungguh ini yang terjadi, namun ‘ubatnya’ adalah berhenti di hentian rawat dan rehat untuk menghilangkan rasa mengantuk.

Sama ada anda lelapkan mata sebentar atau keluar minum bagi menghilangkan rasa mengantuk.

Kurang dua minggu lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri. Pastinya, yang tinggal di bandar akan pulang ke kampung halaman bagi menyambut raya bersama ibu dan bapa serta sanak saudara.

Untuk itu, apa yang penting adalah keselamatan. Setiap kita pasti mengharapkan agar sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat tanpa sebarang musibah.

Bagi tujuan itu, badan perlu cergas untuk pemanduan panjang. Begitu juga bagi pemandu bas kerana mereka membawa banyak nyawa dalam setiap trip perjalanan.

Rasa letih, mengantuk pasti ada. Lebih-lebih lagi apabila ada yang merancang untuk pulang ke kampung halaman selepas waktu kerja, solat Tarawih atau pada waktu siang ketika masih berpuasa.

Kita perlu bertindak bijak, jika mengantuk berhentilah. Anda juga boleh merancang pemanduan agar sentiasa berada dalam keadaan segar kerana ia boleh menge­lakkan daripada pelbagai perkara yang tidak diingini.

Kepada yang ingin pulang ke kampung, jangan lupa servis kenderaan masing-masing.