Selepas keluar dari Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE), penulis perlu melalui Jalan Klang-Banting menuju ke Telok Panglima Garang. Antara yang boleh ditemui di sepanjang jalan tersebut sudah tentunya lambakan kilang perindustrian.

Apa tidaknya dengan jarak hanya kurang 20 kilometer dari Pelabuhan Klang, kawasan Telok Panglima Garang dan Jenjarom adalah destinasi strategik dari segi logistik untuk perdagangan.

Namun, di sebalik ratusan kilang perindustrian di Kuala Langat, siapa sangka kilang-kilang kitar semula plastik turut menjejak operasi di sana.

Bagaimanapun sejak tahun lalu, pertambahan jumlah kilang kitar semula plastik di Kuala Langat semakin mencanak. Dianggarkan sehingga tahun ini sahaja terdapat hampir 40 buah kilang kitar semula plastik di tanah Kuala Langat.

Peningkatan operasi kilang tersebut tidak lain tidak bukan bertitik tolak daripada keputusan kerajaan China pada 31 Di­sember 2017 yang mengharam­kan pengimportan 24 jenis sampah pepejal dunia termasuk plastik.

Keputusan itu mengejutkan negara maju seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Australia. Bayangkan 87 peratus sampah plastik dari Kesa­tuan Eropah dihantar ke China untuk dikitar semula dan di­lupuskan.

Pendek kata, China sebagai negara keempat terbesar di dunia dengan keluasan 9,596,960 kilometer persegi (km persegi) sudah sekian lama menjadi tong sampah negara maju.

Persoalannya ke mana sam­pah-sampah itu akan dibawa selepas ini?

Apa yang diramal dan ditakuti oleh beberapa aktivis alam sekitar Asia Tenggara pada akhir tahun lalu gara-gara keputusan China itu akhirnya benar-benar berlaku.

Negara-negara Asia Tenggara menjadi sasaran baharu negara maju.

Bayangkan Malaysia sebagai negara ke-69 terbesar dunia dengan keluasan cuma 329,750 km persegi bersama negara-negara seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia menjadi tong sampah baharu dunia.

Tidak terkecuali negara se­perti Turki, India dan Taiwan turut sudi mengimport sampah dunia.

Laporan oleh Badan Penyia­ran Kanada mendedahkan ekoran keputusan China mengharamkan import sampah itu, jumlah sampah yang dihantar ke Thailand meningkat sehingga 400 peratus manakala di Malaysia sebanyak 207 peratus.

Bahkan Malaysia menjadi pengimport terbesar sampah dari United Kingdom sejak awal tahun ini.

Persoalannya adakah Malaysia mampu menangani longgokan sampah dunia?

Memang benar mengitar semula bahan buangan adalah cara terbaik untuk menyelamatkan alam sekitar, tetapi lonjakan bisnes itu akhirnya turut memunculkan lebih banyak masalah pencemaran alam lain apabila ia tidak dikendalikan dengan baik.

Sewaktu kilang yang berope­rasi secara sah sudah tidak mampu menangani sampah dunia, maka bercambahlah kilang-kilang kitar semula haram.

Dengan tahap penguatkuasaan yang lemah dan tidak mustahil wujudnya penyelewengan, tauke-tauke kilang yang datang dari China semakin bermaha­rajalela.

Mereka tanpa takut-takut membuat pembakaran terbuka, melepaskan asap yang berbau busuk dan tengik dari kilang, sesuka hati mengalirkan air sisa kitar semula ke dalam longkang serta membiarkan longgokan sampah plastik di merata-rata tempat.

Penduduk Telok Panglima Garang telah menanggung derita sejak beberapa bulan akibat pencemaran, malah bukan sedikit yang mengadu berdepan masalah sesak nafas, batuk dan sukar tidur gara-gara asap busuk kilang plastik.

Sudah tibanya masa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor mengambil langkah segera menamatkan perbuatan menjadikan Kuala Langat sebagai pusat pelupusan sampah.

Jika negara sebesar China sudah mengangkat bendera putih kerana menyedari bahaya terhadap alam sekitar, persoalannya mengapa kita masih berdegil menerima sampah plastik dunia? Berhentilah sebelum terlambat!