Di sebalik semua itu, tidak semua manusia sebegitu. Ada yang reda ke­rana kelompok ini sudah bersedia menanti ajal. Setiap detik waktu dipenuhi de­ngan kebaikan. Mereka tahu, nyawa yang hidup akan diambil Tuhan tidak mengira masa.

Bercerita tentang mati, saya mengimbau tentang seorang sahabat yang sudah mengagak bila ajalnya. Dikesan menghidap kanser dan hanya ada beberapa bulan untuk hidup, beliau terperanjat namun jiwa dan raganya pasrah dengan takdir yang disuratkan. Kini, beliau sudah meninggalkan dunia fana ini dengan meninggalkan semangat yang saya perlu warisi.

Sinopsis kisah itu sama seperti yang terjadi ke atas seorang pemuda jutawan dari Greenacre, Sydney, Australia bernama Ali Banat. Berdasarkan laporan metro.co.uk, Ali menjadi popular sekelip mata selepas kehidupannya sebagai seorang ahli perniagaan berjaya berubah 360 darjah selepas disahkan menghidap kanser tahap empat. Beliau dikhabarkan boleh hidup selama tujuh bulan sahaja.

Kenyataan itu sungguh perit bagi jutawan yang ketika itu berusia 35 tahun. Hala pemikirannya terus bertukar. Jika dahulu beliau berbangga dengan menyarung selipar Louis Vuitton, rumah agam, gelang mahu pun kereta Ferari berharga jutaan ringgit, kini semua itu sudah tidak bermakna kepadanya.

Dalam satu wawancara dengan saluran Living Muslim, Ali ketika diwawancara oleh Syeikh Mohamed Hoblos berkata: “Saat diberitakan saya mendapat kanser, tiada satu pun harta yang bererti dan ingin dikejar. Bila saya zia­rah kubur seorang saudara saya yang turut menghidap kanser, saya merenung sendirian.

“Ya, kita akan pergi, tidak akan ada orang di sana kecuali kita sahaja, tiada ibu, tiada ayah, tiada saudara lelaki atau perempuan kecuali amal kita. Ia juga menjelaskan bahawa kekayaan kita pun akan lenyap.”

Mengikut profil, Ali yang dilahirkan pada 16 Februari 1982 dan sudah beristeri (nama dirahsiakan) mempunyai jumlah kekayaan mencecah AS$3 juta. Tiada butiran lain didedahkan mengenainya.

Daripada seorang pemuda yang mampu membeli apa sahaja dengan wang, penyakit kanser telah membuatkan Ali meminggirkan segalanya. Beliau dilaporkan telah meninggalkan seluruh hartanya lalu berhijrah menjalani hidup dengan sederhana demi mengabdikan sisa hidupnya di jalan Allah.

Antara langkah awal, beliau telah menubuhkan badan amal yang dinamakan Muslims Around The World (MATW) yang membantu ribuan manusia termasuk anak yatim, sekolah, pusat kesihatan, masjid temasuk mewujudkan bisnes yang boleh dipelopori oleh rakyat di Afrika seperti di Togo, Ghana dan Burkina Faso. Saat beliau meninggal dunia pada bulan Ramadan, 29 Mei lalu, MATW berjaya menyimpan dana lebih daripada AS$1 juta.

Sesungguhnya, kisah seorang sahabat saya, pemuda jutawan Australia dan banyak lagi yang saya tidak tahu menjadi pengajaran kepada kita yang masih bernafas. Seperti kata Ali, beliau bersyukur apabila didiagnos menghidap kanser. Beliau dapat bertahan selama tiga tahun meskipun doktor memaklumkan beliau ada masa tujuh bulan untuk hidup.

Seperti katanya: “Saya dikurniakan penyakit yang akan meragut jiwa saya tapi saya gembira diberi peluang untuk berubah.”

Sikap tidak mudah menyerah, terus berubah ke arah lebih baik dan tidak mudah putus asa lelaki itu harus dicontohi. Sikap positif sebegitu lazimnya memang dapat membantu mengatasi kesulitan dan rasa sakit yang kita alami.

Lelaki ini juga meninggalkan wa­risan yang baik di dunia dengan projek amal menerusi MATW. Segala yang dilakukannya diingati walaupun beliau sudah tiada. Kita dianjurkan agar tidak me­lakukan sesuatu benda untuk dipuji manusia. Namun, jika ada ketulusan dalam hati, nescaya Allah SWT akan membuatkan hati manusia lain untuk mengasihi dan terus mengingati tatkala kita sudah menutup mata.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al Baqarah dalam ayat 110: “Dan dirikan solat dan tunaikanlah zakat. Dan kebaikan apa sahaja yang kamu usahakan bagi dirimu, tentu kamu akan mendapat pahala pada sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

Sudah lumrah, manusia seringkali lupa hakikat kita diciptakan. Kita wujud bukan semata-mata untuk memperkaya diri dan juga bukan untuk mengejar cinta manusia. Ya, tidak dinafikan, dunia sememangnya begitu mempesona, menyihir mata, telinga bahkan hati dan jiwa.

Namun, dunia juga mempunyai konotosi sebagai tempat bergaduh, kotor dan sempit kerana godaan harta dan pangkat dapat menjatuhkan kita ke dalam jurang kebinasaan. Banyak yang mengejar harta, sampai lupa kepada Sang Pencipta. Fahamilah, dunia yang kita huni hanyalah bersifat sementara. Maka, perbaiki dan perbanyakkanlah amal kebajikan.

Tidak seperti Ali dan sahabat saya, kematian mereka dicemburui kerana telah diberi kesempatan untuk memperbetulkan diri. Itu sudah qada dan qadar mereka. Nasib kita hanya Allah sahaja mengetahui. Jadi, marilah kita beramal dan membuat persiapan awal selagi ada masa sebelum menerjah ke dalam kehidupan abadi di akhirat.