Bahang pilihan raya sangat dirasai meskipun penulis yang baru berusia 12 tahun tinggal di salah sebuah tanah rancangan Felda yang jauh di pedalaman di Negeri Sembilan.

Tanpa kemudahan asas dan alat telekomunikasi yang canggih, rata-rata penduduk bergantung kepada surat khabar, radio dan televisyen untuk mengikuti perkembangan arena politik negara.

Hanya akhbar Utusan Malaysia sampai di kawasan tersebut dan tidak semua orang memiliki radio atau peti televisyen yang ketika itu menyiarkan saluran TV1, TV2 serta TV3 dalam bentuk hitam putih.

Tidak ada telefon awam, apatah lagi telefon bimbit yang memaparkan berita semasa menerusi laman sosial Facebook, Twitter, Instagram atau blog.

Situasi itu mendorong penduduk untuk berkumpul di kedai-kedai kopi bagi membincangkan isu-isu berbangkit berkaitan dengan suasana politik negara.

Penduduk yang melanggan surat khabar, mempunyai radio atau televisyen akan menjadi jurucakap tidak rasmi kerajaan atau parti politik yang mereka wakili. Ada yang bercakap bagi pihak parti ‘dacing’ yang merujuk kepada Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO, MCA dan MIC, parti ‘bulan’ (Pas) dan parti ‘roket’ (DAP).

Maka, berlakunya perdebatan yang kadangkala berakhir dengan pertengkaran. Malah, ada yang bertindak agresif dengan menumbuk dan menendang meja apabila tidak berpuas hati apabila pendapat mereka disanggah. Lebih memburukkan keadaan apabila wujudnya kedai-kedai kopi yang mewakili parti politik masing-masing. Orang UMNO tidak boleh pergi ke kedai kopi Pas dan begitulah sebaliknya.

Suasana hangat di kedai-kedai kopi itu berjaya menarik minat penulis untuk mengikuti perkembangan arena politik negara. Mereka tidak hanya bercakap tentang calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen tetapi merangkumi Menteri Besar, menteri-menteri Kabinet serta Perdana Menteri Malaysia.

Selepas lebih 30 tahun berlalu, penulis seakan-akan merindui suasana rancak di kedai kopi itu. Kini, tiada lagi kedengaran suara penduduk yang lantang berhujah tentang isu politik negara. Mungkin ia berlaku kerana ramai antara mereka sudah meninggal dunia. Politik kedai kopi itu turut ‘dikebumikan’ bersama-sama mereka.

Banyak faktor yang menyebabkan berakhirnya era politik kedai kopi. Generasi hari ini sudah dilengkapi dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang canggih. Setiap orang pasti memiliki telefon bimbit sendiri yang dilengkapi dengan kemudahan internet. Mereka boleh mendapatkan berita-berita tentang politik semasa menerusi internet. Mereka hidup dalam zaman siber, maklumat di hujung jari.

Pada hari ini, jika kita pergi ke kedai kopi, kita seakan-akan berkunjung ke sebuah rumah yang baru berlaku kematian. Suasana senyap sunyi. Ma­sing-masing khusyuk menatap skrin telefon bimbit di tangan. Tidak menghiraukan rakan-rakan semeja, apatah lagi orang di sekeliling.

Maka, lahirlah ramai keyboard warrior iaitu individu yang cuba menjadi pakar dengan menyampaikan sesuatu pandangan yang dirasakan sahih, bukan dalam bidang kepakaran dan hanya berani berhujah di sebalik skrin komputer.

Menjelang PRU-14, golongan ini didakwa menguasai saluran berita menerusi laman-laman sosial se­perti Facebook, Twitter, Instagram dan blog.