Akibat bencana alam itu, lebih 400 orang dilaporkan terkorban, manakala ribuan penduduk lagi cedera serta puluhan lagi masih hilang. Antara mangsa yang terkorban termasuklah ahli kumpulan pop rock terkenal Indonesia, Seventeen iaitu pemain bass, Muhammad Awal Purbani (Bani), pemain gitar, Herman Sikumbang (Herman) dan pemain dram, Wisnu Andi Darmawan (Andi).

Nasib malang menimpa vokalis kumpulan itu, Riefian Fajarsyah atau Ifan yang bukan sahaja kehilangan kesemua ahli kumpulannya, malah isteri tercinta, Dylan Sahara mendapat simpati netizen.

Dalam jutaan luahan serta ucapan takziah yang diberikan, terselit juga beberapa kerat respons nakal yang kurang enak didengar seperti mempertikaikan nasib mereka di alam sana dengan mengatakan mereka tidak akan mendapat husnul khatimah iaitu kematian dalam keredaan Allah SWT.

Tidak dinafikan komen-komen seperti ini muncul disebabkan saat pengakhiran mereka datang ketika menghiburkan orang ramai di sebuah resort di Tanjung Lesung, Banten, Indonesia.

Bagaimanapun, sebagai manusia biasa kita tidak sepatutnya mengambil tugas Allah SWT dengan menghukum atau menentukan sama ada seseorang itu masuk syurga atau neraka berdasarkan penampilan mahupun perlakuan diri mereka.

Ini kerana hal amalan seseorang hamba itu adalah urusan antara individu tersebut dengan Maha Pencipta.

Seseorang yang jahat pada zahirnya tidak semestinya akan dihumban ke dalam neraka. Siapa tahu orang yang kelihatan jahat itulah yang akan diberikan balasan syurga berbanding manusia berpenampilan alim.

Sebagai contoh, seperti mana yang diceritakan dalam hadis riwayat al-Bukhari mengenai seorang pelacur memberikan seekor anjing kehausan minum. Wanita tersebut diberikan keampunan oleh Allah SWT hanya kerana melakukan perbuatan yang dianggap sangat kecil nilainya pada mata manusia itu.

Namun, janganlah ambil kisah tersebut sebagai lesen untuk lakukan perkara tidak senonoh sebaliknya jadikanlah ia rujukan supaya tidak menjadi manusia yang suka menghukum orang lain seolah-olah sudah dijamin akan mendapat balasan syurga Firdaus.

Bukankah lebih elok jika mendoakan mangsa yang terkorban dalam bencana tersebut supaya mereka ditempatkan dalam kalangan orang mukmin dan dosa mereka diampunkan.

Walaupun bencana tersebut bukan berlaku di negara ini, namun ia seharusnya dijadikan sebagai suatu iktibar dan peringatan buat kita semua agar lebih bersyukur dengan nikmat yang telah diberikan di dunia ini.

Ingatlah, kehidupan yang kita nikmati di dunia ini hanyalah sementara, tidak tahu bila ia akan berakhir.

Sempena tahun baru ini, selain berazam untuk memiliki tubuh badan lebih sihat, harta benda yang melimpah-ruah atau mendapat lebih ramai kenalan, apa kata kita sama-sama bertekad supaya menjadi manusia yang mempunyai sifat dan sikap yang lebih baik terhadap orang lain, alam sekitar dan juga Tuhan Yang Maha Esa.