Kebakaran hutan California, banjir di India, letusan gunung berapi di Indonesia dan Hawaii, gempa bumi di Mexico dan beberapa negara lain meru­pakan sebahagian daripada bencana yang melanda pada tahun 2018 dengan beribu-ribu orang terkorban.

Sebelum ini pun, ramai penyelidik mengenai perubahan iklim dunia memberi amaran bahawa bencana alam seperti banjir kilat, ribut, kemarau, suhu melampau akan berlaku dengan lebih kerap dan pada aras yang sukar diduga didorong oleh kerakusan manusia.

Sesetengah pakar berpendapat Bumi dan sumber kekayaannya hanya dapat menampung seramai tujuh atau lapan bilion umat manusia.

Keadaan persekitaran pula menjadi lebih buruk, kata mereka, berikutan kelemahan manusia dalam menguruskan sumber air dan memusnahkan separuh rimba di muka bumi ini menjadikan kawasan yang dahulunya lestari berubah menjadi tanah tandus di sam­ping sikap tidak endah dalam pengurusan gas rumah hijau.

Beberapa kota raya di rantau Asia Tenggara pula diramal tenggelam dalam masa beberapa tahun akan datang akibat peningkatan paras air laut disebabkan pemanasan global yang mencairkan benua gla­sier di dua buah kutub dunia.

Berita tentang siri gempa bumi kuat yang menggegarkan dan mendatangkan kemusnahan besar di Pulau Lombok dalam selang masa begitu singkat menjadi fenomena jarang berlaku. Letusan gunung berapi Kilauea di Hawaii berpanjangan hingga lebih sebulan pula bukan sahaja mengejutkan warga dunia pada tahun ini, malah ramai yang tertanya-tanya adakah ramalan saintis-saintis iklim menjadi nyata.

Adakah dunia kini di ambang kemusnahan de­ngan bencana alam akan me­nimpa berturutan pada kekerapan yang tidak pernah diduga sebelum ini.

Sidang di Bangkok baru-baru ini bagi membincangkan persiapan sidang kemuncak iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Poland akhir tahun ini turut membayangkan bahawa perubahan iklim dunia adalah perkara serius dan sahih.

Sidang tersebut bermatlamat untuk mendesak pe­mimpin-pemimpin dunia me­laksanakan perjanjian iklim Paris 2015 bagi mengurangkan gas rumah hijau dan membantu negara-negara yang terjejas akibat perubahan iklim dunia.

Di sebalik keriuhan yang digembar-gembur oleh aktivis alam sekitar dan berbilang paparan tentang bencana alam, data Panel Antara Kerajaan Berhubung Perubahan Iklim (IPCC) iaitu sebuah badan antarabangsa di bawah nau­ngan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), membuktikan sebaliknya.

Menurut IPCC, tiada pe­ningkatan dalam bilangan bencana alam seperti puting beliung, taufan, banjir, gempa bumi atau kemarau sepanjang tempoh tiga dekad lalu, malah, data terkumpul menunjukkan kadar insiden bencana alam sebenar­nya menurun sejak tahun 2000.

Beberapa tahun menjelang tahun 2000, statistik IPCC menunjukkan kejadian bencana alam besar yang dilaporkan di seluruh dunia mencecah 500 setahun.

Bagaimanapun, bilangan itu beransur-ansur menurun dan berada pada kadar kurang daripada 300 setahun pada tahun lalu.

Statistik sama juga mendapati sepanjang tempoh 2000 hingga 2017, kadar kematian disebabkan oleh bencana alam turut mencatatkan penurunan. Pengurangan itu antara lain membayangkan bahawa pe­ngurusan bencana kini menjadi lebih cekap dengan lebih banyak langkah proaktif dilaksanakan untuk menjadikan persekitaran manusia le­bih selamat di samping peranan teknologi dalam meramal bencana seperti gempa, letusan gunung berapi dan taufan.

Kemungkinan kita menyaksikan begitu banyak bencana alam berlaku sejak beberapa tahun lalu juga antaranya disebabkan kemajuan dan perkembangan dalam teknologi maklumat yang begitu pesat.