Serentak itu, mutiara jernih turut mengalir dari tubir mata, resah menyesak di dada.

Selain Kosmo!, Kumpulan Utusan turut menerbitkan akhbar Utusan Malaysia. Nasib kami serupa.
Panggilan demi panggilan bertanya khabar dan meniupkan semangat turut di­terima datang daripada pelbagai pihak terutama ahli keluarga dan teman rapat.

Termenung juga saat mendengar berita me­ngenai penutupan tersebut. Jika benarlah Kumpulan Utusan ini ditutup dalam tempoh tiga hari seperti yang tular di media sosial semalam, apa yang perlu dibuat untuk meneruskan kehidupan? Bermacam-macam pelan bermain di minda namun akal menasihatkan diri supaya bertenang.

Hanya dengan bertenang baru kita dapat berfikir dengan baik. Selain me­ngadu pada keluarga, paling utama kami turut menadah tangan meminta keajaiban daripada Maha Pencipta.

Dalam tempoh hampir tiga bulan tanpa gaji, kami sebenarnya sarat menanggung hutang. Bukan setakat hutang bulanan yang perlu dilangsaikan malah kami turut berhutang untuk meneruskan kehidupan seharian.

Andai ada di luar sana yang terdetik ia hanya drama, anda sendiri boleh lihat bagaimana kami masih meneruskan kerja seperti biasa bagi memastikan akhbar diterbitkan esok dalam pelbagai kekangan.

Penulis tabik pada semangat kental kakitangan di bumbung keramat ini.

Andai ia terjadi pada pekerja di tempat lain, mungkin sudah ada yang angkat kaki. 

Andai ada yang terfikir, tidak mungkin mereka beri anak-anak minum sirap bagi menggantikan susu. Ketahuilah, realitinya, bukan sahaja ada dalam kalangan rakan penulis yang memberi anak minum sirap atau teh O, malah ruang pejabat kami juga tidak ubah seperti pusat asuhan kanak-kanak.

Kami tidak pernah mengeluh atau marah kerana kami faham, rakan-rakan lain juga tiada wang untuk membayar pengasuh.

Kami saling memahami situasi yang dilalui antara satu sama lain. 

Membaca komen berbaur ejekan daripada mereka yang melabelkan akhbar kami sebagai rasis, ia begitu menyakitkan hati.

Lebih tidak bertimbang rasa adalah apabila ada yang tanpa berselindung mahu melihat akhbar terbitan Kumpulan Utusan perlu dikuburkan dari dahulu lagi.  

Namun, huluran tangan rakan-rakan dan pihak yang memahami, menguatkan diri dan mengukuhkan pasakan kaki agar kami terus bertahan memastikan akhbar ini terus bernafas dalam saingan sengit dunia akhbar masa kini.

Kami cuma mengharap­kan kesudian anda untuk terus memberi sokongan kepada usaha kami demi agama, bangsa dan negara tercinta. Mulai hari ini, belilah Kosmo! dan Utusan Malaysia. Bantulah kami. 

Dengan RM1.50 dan RM2 senaskhah, anda mampu memberikan sinar dalam memastikan kedua-dua akhbar ini terus relevan di bumi bertuah ini. Terima kasih.