Peraturan ini selari dengan keputusan kerajaan yang menetapkan premis makanan dan restoran sebagai kawasan larangan merokok.

Perokok yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 manakala pemilik premis yang tidak menguatkuasakan larangan boleh didenda RM3,000 jika sabit kesalahan.

Langkah ini sedikit sebanyak dapat melegakan masyarakat yang merasa terganggu de­ngan asap rokok ketika sedang makan apatah lagi risau tentang kesan negatif secara langsung daripada perbuatan perokok terbabit.

Penulis menyokong langkah kerajaan ini kerana ia dapat membantu premis makanan di negara ini bersih daripada puntung rokok yang bersepah di lantai.

Walaupun disediakan tempat membuang rokok itu tetapi sikap segelintir perokok yang masih degil tidak menghiraukan kemudahan yang disediakan.

Penulis bukanlah antiperokok tetapi yang baik kita harus sokong dan langkah ini bukanlah menidakkan hak perokok, cuma sama-sama saling menghormati.

Begitu juga dengan penggunaan tandas awam di taman rekreasi, pusat beli-belah atau pusat rek­reasi termasuk kolam renang awam.

Ternyata apabila kita datang pada awal pagi ia bersih, namun bertukar sebaliknya pada waktu tengah hari dan petang.

Beberapa kali membawa anak-anak ke kolam renang awam, penulis sering mengeluh melihat tandasnya yang tidak bersih.

Tandas awam adalah satu perkongsian antara anda dengan orang lain, jagalah ia seperti anda menjadi harta sendiri atau tandas di rumah sendiri.

Seringkali penulis melihat tisu dibuang sahaja di dalam tandas, bersepah-sepah dan itu belum lagi tindakan membuang lampin pakai buang bayi termasuk tuala wanita di lantai.

Perkara ini tidak sepatutnya terjadi kalau semua nampak tong sampah dan buang di dalam­nya. Semua tandas pasti ada tong sampah.

Cubalah kita berfikir untuk tidak memen­tingkan diri sendiri kerana Islam menganjurkan kebersihan bukan sekadar kebersihan di tempat kediaman kita sahaja tetapi ke mana sahaja kita pergi, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; Kebersihan itu sebahagian daripada iman harus disemat oleh semua umat Islam.

Malah, pemikiran orang ramai yang meletakkan tugas menjaga kebersihan kepada individu tertentu seperti tukang sapu dan pihak berkuasa tempatan semata-mata juga perlu dikikis.

Dalam Islam sendiri kita disuruh menjaga kebersihan, tetapi mengapa apabila berada di tempat-tempat awam, mereka seolah-olah tidak peduli tentang semua ini (kebersihan) sehingga menyukarkan kerja-kerja pembersihan yang perlu dilaksanakan hampir sepanjang masa.

Kita perlu lah menghormati hak orang lain dan orang lain akan menghormati hak kita.

Sikap menghormati hak orang lain perlu ada dalam diri kerana setiap individu berbeza latar belakang, pendapat, bakat dan kebolehan.