Masa itu, buruh kasar tempatan di kilang itu cuma ada saya dan seorang rakan berbangsa Melayu. Bayaran gaji kami cuma RM17 sehari dan tiada bayaran diberi ketika hari cuti rehat.

Ada beberapa pekerja tempatan mencuba nasib menjadi operator pengeluaran namun pasti ‘hilang’ selepas sehari dua. Paling lama, sebulan dua.

Rakan Nepal dan Bangladesh di situ pada pengamatan saya, gaji mereka lebih rendah berbanding kami tetapi bekerja bagaikan esok tiada lagi hari.

Mereka jarang-jarang sekali mengeluh apabila penyelia atau tauke minta melakukan sesuatu tugasan. Tidak juga ‘hilang’ atau membuang masa tanpa sebab ketika waktu kerja.

Saya berkawan dengan kumpulan warga asing ini dan diberitahu, ada dalam kalangan mereka ini adalah lulusan universiti dan kolej di negara asal mereka.

Sewaktu ditanya mengapa tidak bekerja di negara sendiri, mereka akui di sana susah mendapat peluang pekerjaan sehingga terpaksa berhutang dengan ejen untuk merantau ke luar negara. Hasil gaji yang diterima pada hujung bulan akan dikirim sebahagiannya ke kampung asal mereka. Hidup bukan mudah di sana tetapi keadaannya lebih baik di sini.

Memori itu kembali mengimbau saya pada ketika suasana ekonomi Malaysia yang semakin suram dan ramai pekerja hilang sumber rezeki sama ada secara sukarela atau paksaan.

Itu belum mengambil kira puluhan ribu graduan yang baru menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi setiap tahun dan akan memburu peluang pekerjaan.

Belum lagi ditambah dengan kumpulan pemegang sijil palsu atau geng penipu kelulusan.

Kombinasi ini secara langsung akan memberi kesan kepada kadar pengangguran semasa. Jurang jumlah tenaga kerja dan peluang kerja semakin jauh.

Ramai pekerja berkualiti yang dianggap sebagai permata dalam sesuatu bidang juga terpaksa melepaskan kerja sedia kala kerana situasi semasa.

Pengalaman dan semangat yang dimiliki mereka belum tentu mudah ditemui. Ini bukan hanya merugikan sesuatu organisasi tetapi satu kerugian besar kepada banyak sektor dan negara.

Mereka yang masih ada peluang bekerja sepatutnya bersyukur kerana masih boleh merasai gaji dan bayaran kerja lebih masa pada setiap bulan.

Bersyukur itu perlu disusuli dengan keazaman untuk mencontohi bekas-bekas rakan yang berkorban melepaskan tempat mereka untuk membantu syarikat terus bernyawa.

Keazaman itu perlu menyerap semangat bekas-bekas pekerja permata yang berusaha gigih dalam membantu menaikkan nama dan keuntungan syarikat.

Semangat itu perlu dizahirkan dengan melaksanakan tugas-tugas sebaik mungkin dan bersatu hati memainkan peranan serta membentuk satu organisasi mantap dalam mengecapi kejayaan kelak.

Seorang pekerja belum tentu boleh majukan syarikat atau sesebuah unit. Dua orang pun belum tentu jamin kejayaan. Setiap seorang ada peranan masing-masing.

Jika diringkaskan, doa, usaha bersungguh-sungguh dan tawakal adalah ramuan yang diperlukan seseorang untuk berjaya.

Malangnya, jika diamati di sekeliling kita, suasana ini enggan atau gagal dipraktikkan. Ramai menjadi pekerja parasit, malas namun mahu gaji. Tanyalah mana-mana majikan jika ini suatu kisah dongeng.

Jadilah pekerja bermaruah dan amanah dalam menjalankan tugas. Tidak kira di kerusi paling atas hingga mereka yang dianggap ‘askar’. Jangan jadi penumpang yang gemar makanan percuma. Jangan jadi parasit.