Ya, ia membantu mengeluarkan peluh dan menghasilkan rasa seronok apabila bermain, tetapi sebuah basikal yang diubah suai tanpa ciri keselamatan sememangnya tidak layak menerima gelaran sukan.

Apakah idealisme di sebalik basikal lajak? Masyarakat Malaysia suka mengubah suai sesuatu barangan kononnya untuk menjadikannya lebih istimewa tetapi kadangkala berbahaya, hanya untuk gaya, kelajuan dan sebagainya.

Ambil kereta sebagai contoh. Kereta yang diubah suai secara tidak bertanggungjawab mampu mencetuskan pencemaran bunyi dan udara, sukar untuk melepasi bonggol di jalan malah boleh terputus dua apabila berlaku kemalangan. Motosikal juga begitu.

Basikal lajak merupakan contoh eksperimen ubah suai yang berbahaya. Ia langsung tiada ciri-ciri keselamatan kerana tiada brek, hendal yang tidak sepadan dengan spesifikasi asal serta tiada lampu yang menyebabkan penunggang sukar melihat dan dilihat oleh pengguna jalan raya lain pada waktu malam.

Elemen berbahaya dan keterujaan ketika menunggang menyumbang kemalangan kepada gejala basikal lajak. Berada di garisan samar antara dibenarkan dan berbahaya menjadi candu kepada geng-geng basikal lajak ini.

Mereka tidak gentar kerana sikap berani mati ini mengatasi segala pemikiran logik. Lagi berbahaya, lagi seronok mungkin? Atau semakin kreatif dengan modifikasi basikal, semakin mereka mendapat perhatian?

Risiko yang wujud telah menyebabkan pihak berkuasa mengambil langkah menahan geng-geng basikal lajak ini. Antara yang terpapar di media massa kebelakangan ini termasuk di Persiaran Meranti Sri Damansara 13,
Kuala Lumpur; Jalan Kuala Teriang dan Padang Matsirat, Langkawi dan Jitra, Kedah. Tangkapan tersebut melibatkan remaja yang masih bersekolah.

Sesungguhnya tak salah berbasikal, malah ia aktiviti yang menyihatkan. Namun, seperti kebanyakan aktiviti lain, cara penggunaan alat yang betul dengan keutamaan pada keselamatan diri haruslah diberi perhatian.

Pastikan brek berfungsi, memakai kelengkapan keselamatan seperti topi keledar dan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya. Anda geng basikal lajak mungkin berasa seronok dengan aliran adrenalin ketika beraksi di tengah-tengah jalan raya, tetapi sekiranya berlaku sesuatu, siapa yang akan menanggung sengsara?

Bagi geng basikal lajak, keseronokan anda haruslah bertempat. Janganlah membahayakan diri orang lain disebabkan keghairahan dan sikap tak peduli anda.

Sebagai ibu bapa, kita wajib memantau aktiviti anak-anak agar mereka tidak terjerumus ke dalam aktiviti yang berisiko dan membahayakan diri serta orang lain. Biarlah sehingga berbuih mulut kita menasihati mereka. Tangisan atau penyelesaian pada kemudian hari tiada gunanya.