Kejutan itu memang tidak disangka berlaku pada PRU-14. Kekalahan kepada Pakatan Harapan (PH) itu turut menyebabkan para penyokong BN berasa sedih dan akur menerima pilihan pengundi selain menjadi pembangkang di Parlimen.

BN kalah kepada PH yang mengandungi empat buah parti. Parti-parti itu ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Ama­nah) dan DAP.

Sebahagian kecil kepimpinan tertinggi PPBM dan PKR terdiri daripada bekas ahli UMNO. Bagaimanapun, pada 9 Mei lalu, tsunami rakyat telah berlaku apabila pengundi-pengundi memilih PH dan menggantikan BN untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Kemenangan PH itu mencatatkan tiga sejarah negara. Kejayaan itu menyebabkan negara ini mempunyai Perdana Menteri paling tua di dunia yang berusia 92 tahun iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dr. Mahathir juga menjadi rakyat Malaysia pertama menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali. Malaysia juga mempunyai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama iaitu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Misi kerajaan PH adalah menyelamatkan Malaysia. Justeru, buat pertama kali juga Majlis Penasihat Kerajaan ditubuhkan yang antara matlamatnya ialah memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Majlis penasihat itu yang dianggotai lima individu yang terkenal dalam dunia perniagaan juga berjanji mengembalikan subsidi minyak dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Sebelum ini, ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri beliau pernah berkata bahawa hasil pendapatan akan berkurangan dan negara berada dalam keadaan defisit tanpa kutipan GST.

Kutipan GST sebanyak RM45 bilion setahun itu juga akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk bantuan pendidikan, pekebun kecil dan nelayan serta Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Namun, bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz seperti dilaporkan agensi berita Bernama kelmarin berkata, Malaysia boleh memperoleh hasil tanpa mengutip GST.

Kepimpinan kerajaan PH yakin dapat mengelakkan pembaziran, mengurangkan rasuah ke tahap minimum dan mencari sumber pendapatan baharu serta mengawal hutang negara.

Kerajaan PH juga yakin formula ekonominya akan berjaya membawa Malaysia menuju ke arah yang lebih cemerlang.

Berdasarkan keputusan PRU-14 itu, pengundi-pengundi kini meletakkan harapan tinggi kepada kerajaan baharu yang menguasai Putrajaya dan menunaikan janji-janjinya.

Janji-janji dan kejayaan formula ekonomi itu juga akan dinilai dan menjadi faktor penting sama ada pengundi bakal mengekalkan kerajaan PH pada PRU-15 nanti.