Di negara Uncle Sam, Trump mengejutkan banyak pihak termasuk penganalisis politik tersohor dengan memenangi pilihan raya itu dengan penuh bergaya.

Ketika tidak banyak pihak memberi harapan, Trump membuktikan segala ramalan mereka meleset dan salah belaka. Dia kemudian muncul sebagai Presiden paling tua di negara itu.

Itu di Amerika. Di Malaysia jalan ceritanya mungkin tidak serupa tapi penamat drama sama.

Dr. Mahathir Mohamad, satu nama besar, mencipta sejarah baharu Malaysia apabila parti pembangkang gabungannya berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang tidak pernah kalah sejak lebih 60 tahun lalu.

Seperti Trump, Dr. Mahathir kemudian muncul sebagai Perdana Menteri paling tua bukan saja di Malaysia tetapi juga di alam maya ini.

Drama 9 dan 10 Mei 2018, terpahat kukuh dalam jiwa seluruh rakyat Malaysia. Tengah malam membawa ke pagi itu dipenuhi dengan debaran dan kejutan.

Beberapa hari kemudian, umat Islam menyambut kedatangan bulan yang agung, Ramadan Al-Mubarak.

Inilah masanya untuk mengumpul seberapa banyak pahala selepas berhari-hari terdedah dan didedahkan dengan berita-berita yang separuh masak malah ada yang belum masak langsung.

Betullah tekaan sahabat seperjuangan, bahawa 9 Mei itu baru permulaan kepada drama yang lebih besar, lebih suspen, lebih mengejutkan dan lebih panas.

Setakat ini, nampaknya apa yang diteka itu betul. Hari-hari yang dilalui rakyat Malaysia penuh dengan kisah-kisah menarik, mendebarkan serta pelik. Kadang-kadang melucukan dan mencabar minda.

Mungkin kita terlupa. Ini bukan era Malaysia lama. Ini Malaysia baharu.

Sesungguhnya betullah dan tepat sekali kenapa pilihan raya umum ke-14, dinamakan sebagai ‘bapa segala pilihan raya’.

Beginilah. Pilihan raya dah lama berlalu. Kita kena hormati pilihan pengundi. Ini negara demokrasi. Yang menang kita ucapkan tahniah dan selamat menerajui negara.

Yang tewas pula, jangan kecewa, perbaiki diri, lima tahun bukannya lama. Pejam celik pejam celik dah pun lima tahun.

Jangan kita lupa pula. Yang menang, parti itu tidak menang semua. Begitu juga yang kalah.

Apa pun, kita semua rakyat Malaysia. Yang kalah pun orang Malaysia. Yang menang pun orang Malaysia.

Jumaat ini umat Islam akan menyambut Aidilfitri. Bila pulang ke kampung halaman masing-masing nanti, kurangkanlah cerita politik.

Bahaya sembang politik jika berlebihan, boleh menyebabkan ramai orang naik angin, naik darah walaupun adik-beradik.

Ingat, ini hari raya, hari bersuka ria serta menjamu selera.

Ziarahlah rumah saudara dan ‘musuh politik’. Inilah masanya bermaaf-maafan.

Hidup di dunia ini bukan nak berpolitik saja.

SAPU BERSIH: Untuk semua rakyat Malaysia beragama Islam, penulis ucapkan: “Selamat hari raya, maaf zahir batin. 0-0.

Hati-hati di jalan raya.”