Apabila saya menjawab: “Keluarga saya, khasnya anak-anak kerana mereka memastikan saya bangun dan sentiasa bersedia”, kami berdua ketawa kerana ayat itu memberi makna yang mendalam dan pada masa yang sama, mempunyai nada jenaka.

“Tetapi sesetengah pihak akan mengatakan bahawa keluarga boleh mempengaruhi produktiviti dan komitmen wanita terhadap tugasnya, bagaimana anda melihat perkara ini?” tambah individu tersebut.

Saya katakan, ia bergantung kepada individu ter­babit. Namun secara amnya, wanita sentiasa menginginkan yang terbaik bagi insan tersayang tetapi pada masa yang sama, tidak mengabaikan amanah yang diberi. Mereka akan cuba sedaya upaya untuk hidup terutamanya dalam keadaan semasa yang mencabar.

Dengan tenaga kerja di Malaysia kini mencecah 15 juta orang, termasuk kira-kira 5.8 juta wanita, adalah penting untuk kita ketahui peranan signifikan yang dimainkan oleh kaum hawa ini.

Wanita menggalas tanggungjawab yang banyak bukan sahaja di pejabat, malah di rumah. Tugas harian yang menimbun menyebabkan kami memainkan pelbagai peranan dan pada masa yang sama, perlu bijak mengurus.

Saya menyambut baik apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tahun 2018 sebagai Tahun Memperkasakan Wanita pada sesi pembentangan Bajet 2018 Oktober lalu.

Antara manfaat yang diterima wanita pada tahun hadapan termasuk penambahan dana Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM200 juta.

Majoriti peminjam AIM adalah wanita serta merupakan pembayar balik hutang yang berdisiplin selain gigih berusaha untuk memajukan diri serta keluarga masing-masing.

Selain itu, cuti bersalin mandatori sektor swasta dinaikkan dari 60 hari kepada 90 hari dan diberikan pengecualian cukai pendapatan individu ke atas pendapatan yang diperoleh dalam tempoh 12 bulan kepada wanita yang kembali bekerja setelah sekurang-kurangnya dua tahun berhenti kerja.

Satu lagi pengumuman penting adalah mewajibkan semua bangunan pejabat baharu menyediakan pusat jagaan kanak-kanak.

Sesungguhnya langkah tersebut pastinya akan meringankan beban kakitangan terutamanya mereka yang sukar mendapatkan khidmat penjagaan anak-anak. Malah, rata-rata berpendapat langkah itu dapat meningkatkan produktiviti pekerja.

Ini kerana kakitangan khususnya kaum ibu, tidak berjauhan dengan anak-anak mereka dan dapat memantau pada waktu rehat dan mendekatkan mereka dengan anak tersebut terutamanya bagi anak yang masih menyusu badan.

Diharapkan suatu hari nanti usaha itu diperluas ke bangunan-bangunan pejabat sedia ada memandangkan budaya dan dimensi kerja hari ini jauh berbeza dan memerlukan komitmen tinggi berbanding zaman dahulu.

Walaupun sukar, namun mencapai keseimbangan kerjaya dan hidup adalah penting dalam persekitaran yang mencabar hari ini dan bersikap empati serta membantu merupakan antara cara untuk mencapainya.

Dengan tahun baharu bakal tiba tidak lama lagi, diharapkan 2018 tahun yang lebih baik berbanding 2017.