Selain daripada lagu tersebut yang biasanya akan menjadi begitu popular dalam kalangan pelajar sepanjang bulan Ogos, sekali gus dimainkan dalam corong pembesar suara di dewan sekolah pada 31 Ogos sebagai simbolik meraikan ulang tahun Malaysia, antara lagu lain yang penting diulang nyanyi adalah lagu kebangsaan iaitu Negaraku, lagu negeri dan lagu sekolah.

Namun, situasinya jauh berbeza pada masa kini. Oleh kerana anak penulis baru berusia lapan tahun, maka baru dua kali saya terkesima dan berasa ‘wow’ dengan keterbukaan barisan pendidik pada masa kini. Sewaktu di tahun satu, anak perempuan saya sibuk menghafal lagu Aku Negaraku kerana Ketua Pengarah Pelajaran pada waktu itu (tahun lalu), Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof menyatakan semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan diminta menyanyikan lagu berentak kontemporari itu bersama dengan lagu Negaraku, negeri dan sekolah masing-masing.

Ia sekali gus membuat pelajar sekolah perlu menyanyikan empat buah lagu setiap pagi di perhimpunan pada setiap minggu.

Maka dengan itu secara rasminya, lagu berdurasi selama dua minit 15 saat merupakan ciptaan Audi Mok Chuang Yew dan lirik pula ditulis Shazree Ishak itu telah diwajibkan untuk di­nyanyikan di setiap sekolah.

Ia merupakan satu perkembangan yang agak ‘maju’ kerana Aku Negaraku yang didendangkan oleh Hafiz Suip dan Jaclyn Victor begitu kotemporari dan bersifat komersial. Awal minggu ini, saya rasa seperti mahu ‘terpelanting ke belakang’ apabila anak memberi kertas mengandungi lirik lagu Standing In The Eyes of The World. Padahal, lagu dendangan ratu rock negara, Ella ini sudah berusia 10 tahun. Ia dicipta sebagai lagu tema Sukan Komanwel Malaysia 1998.

Apabila ditanyakan dari mana dapat lagu tersebut dan siapa bagi, polos jawapannya: “Cikgu” dan ditanya semula ada apa yang salah ke mak? Tidak, langsung tidak ada yang salah, tetapi sebagai seorang wartawan hiburan, saya berasa sikap guru pada masa kini yang lebih terbuka, moden dan menerima segala bentuk seni asalkan ia dilihat positif selain mampu membakar semangat pelajar adalah sesuatu yang harus dipuji.

Beberapa bulan lalu, sewaktu lagu milik Datuk Seri Siti Nur­haliza, Comel Pipi Merah meledak, anak saya turut mendendang­kan lagu itu berulang kali. Ironi, saya tidak pernah memper­kenalkan lagu tersebut, apa lagi siapa penyanyinya. Ditanyakan keraguan itu kepadanya, dijawab: “Cikgu Bahasa Melayu beri. Kami belajar tengok YouTube di makmal komputer untuk belajar bab pantun!”

Jujurnya, saya memang terkejut dengan kemajuan ini atau sebenarnya sudah lama diaplikasi dan saya ketinggalan zaman sebab anak baru bersekolah. Pelajar tidak disekat kebebasan mereka untuk mendengar lagu bersifat komersial yang kemudian­ diaplikasikan di sekolah untuk tujuan pembelajaran, asalkan ia masih di landasan yang betul.

Berbanding dahulu, jika seseorang pelajar cenderung mendengar lagu metal atau terpengaruh habis dengan hit milik kugiran Nirvana, The Man Who Sold The World serta berangan seperti Kurt Cobain, itu adalah pelajaran tidak formal yang dikutip dalam kalangan kawan-kawan di sekolah. Itu semua budaya dan pengaruh percampuran, bukan dibekalkan oleh tenaga pengajar.

Secara totalnya juga, guru sedikit konservatif untuk mengga­lakkan unsur seni seperti lagu komersial untuk diguna pakai di sekolah kecuali yang telah diperakui sejak sekian lama.

Jangan salah faham. Saya tidak kata barisan pengajar dahulu tidak sporting atau terbuka, tetapi apa yang mahu saya sampaikan adalah semakin revolusi berputar dan berkembangnya generasi X atau Y, maka pendekatan pembelajaran juga sudah banyak berubah. Jika ia adalah perubahan yang baik demi anak bangsa, mengapa perlu dihalang kerana merekalah yang akan menggerakkan negara pada masa hadapan.