Kanak-kanak berusia dua tahun itu disahkan meninggal dunia akibat difteria di Johor Bahru, Johor. Dia dilaporkan tidak pernah menerima sebarang imunisasi difteria sejak lahir.

Difteria penyakit yang boleh dielakkan dengan pengambilan vaksin. Ia merupakan salah satu vaksin lima serangkai yang patut diambil dengan lengkap pada bulan-bulan tertentu pada awal kelahiran bayi. Selain difteria, vaksin lima serangkai meliputi penyakit pertusis, tetanus, polio dan influenza hemofilus jenis B. Tahun lalu, dilaporkan terdapat lima kematian akibat difteria di negara ini dengan empat daripada kanak-kanak itu tidak pernah menerima apa-apa imunisasi.

Kementerian Kesihatan melahirkan kekecewaan dengan tindak­an gerakan antivaksin yang dikatakan antara faktor penularan semula penyakit berjangkit.

Bermacam-macam alasan diberikan golongan ini untuk menentang pengambilan vaksin. Antaranya mendakwa ia menyebabkan masalah autisme dan ada kandungan haram dalam vaksin. Sedangkan hal itu tidak sepatutnya timbul kerana waima ada unsur haram di dalamnya, ia dibenarkan kerana elemen darurat dan maslahah ummah yang mana jika tidak dilakukan akan membahayakan nyawa diri dan orang lain.

“Kita telah buat fatwa banyak kali. Harus dan boleh kita pakai kalau tiada benda lain dan hanya itu yang ada, bahkan wajib kita pakai untuk menyelamatkan nyawa,” kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dipetik daripada laporan portal Oktober tahun lalu megenai isu ibu bapa menolak vaksin.

Paling menarik perhatian penulis apabila terdapat alasan gerak­an antivaksin ini yang meletakkan segalanya kepada takdir Tuhan. Kononnya merekalah yang lebih bertakwa dan bertawakal kepada Allah. Menurut mereka; ‘Kalau ambil vaksin pun, kalau Allah kata dapat penyakit, dapat penyakit juga’.

Bagaimana mereka menyatakan mereka golongan yang bertawakal kepada Allah sedangkan mereka salah pada konsepnya? Rasulullah SAW mengajar umatnya untuk menambat unta sebelum berserah kepada Allah agar unta itu tidak lari atau dicuri, bukan dibiarkan begitu sahaja dan berserah agar ia kekal di suatu tempat. Usaha perlu dilakukan dulu sebelum tawakal. Pencegahan atau al-wiqayah adalah salah satu bentuk usaha.

Pandangan golongan antivaksin ini bagi penulis mirip salah satu kumpulan aliran pemikiran dalam ilmu kalam dan akidah yang dinamakan Jabariah. Jabariah ialah pemikiran bahawa manusia langsung tidak ada apa-apa ikhtiar atau pilihan melainkan semuanya diserahkan kepada Allah. Jabara adalah bermaksud terpaksa, bahawa manusia langsung tidak ada apa-apa usaha atau kuasa melainkan terpaksa mengikut ketetapan Allah. Manusia diibaratkan bulu yang dibawa angin.

Kelompok berpemikiran ini dikatakan tersebar pada zaman kerajaan Umayyah (660-750 Masihi) dan dipelopori oleh golo­ng­an Yahudi yang mahu menjadikan umat Islam pesimis. Pemikiran Jabariah ini adalah menyeleweng daripada pemikiran Islam sejati, Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menyatakan manusia itu mempunyai pilihan untuk melakukan usaha dan ikhtiar namun tertakluk kepada ketentuan Allah.

Para ulama seperti Abdullah bin Abbas yang juga merupakan sahabat Nabi Muhammad SAW pernah menyelar golongan Jabariah: “Adakah kamu menyeru orang supaya bertakwa kepada Allah, sedangkan kamu menyesatkan orang-orang yang bertakwa? Adakah kamu melarang orang daripada kerosakan, sedangkan kerana rosaknya kamu, lahirnya beberapa kerosakan?”

Penulis tertanya juga, adakah golongan antivaksin yang berse­rah kepada takdir ini juga tidak mengerjakan haji atau umrah memandangkan kerajaan Arab Saudi mewajibkan pengambilan vaksin meningitis?

Hairan juga bagaimana mereka yang penulis percaya kese­muanya hidup dan sihat walafiat hingga sekarang kerana mene­rima vaksin semasa kecil oleh ibu bapa masing-masing, tergamak berpendirian sebaliknya terhadap anak mereka sendiri.