Ujian dalam hidup datang silih berganti. Pendek kata, selepas satu, datang satu lagi. Begitulah kehidupan setiap manusia yang tidak sunyi daripada permasalahan.

Adakalanya sesetengah kita merasakan seperti ada jari gergasi yang tidak henti-henti menekan tubuh kerdil kita bagi menghalang diri menghela nafas kelegaan. Adakalanya juga terasa se­perti wujud sebeban batu besar yang sengaja diletakkan di pundak kita tanpa belas ihsan.

Cakap tentang batu, entah kebetulan atau ilham yang dianugerahkan Tuhan, penulis ingin berbicara tentang perkongsian beberapa kenalan di laman sosial. Ia dua analogi yang penulis temukan secara berasingan, namun ternyata jika diperhalusi mempunyai persamaan.

Pertama, seorang rakan bercerita tentang pohon kurma. Katanya, di padang pasir negara Arab, apabila benih pohon kurma hendak ditanam, di atas pasir tempat ia ditanam akan ditutup dengan beberapa ketul batu.

Apabila benih itu tumbuh ia tidak dapat keluar ke atas kerana terhalang oleh batu. Disebabkan halangan dan tekanan itu, akarnya semakin membesar dan kuat sehinggalah benih itu juga membesar dan padu lalu mampu tumbuh ke atas dengan menolak batu.

Proses itulah yang menjadikan pohon kurma kemudiannya ampuh dan gagah untuk menahan badai dan cuaca ekstrem di padang pasir.

Kedua, cerita tentang tuan guru dengan batu. Alkisah­nya, seorang tuan guru me­ngarahkan anak muridnya untuk menolak satu batu yang amat besar, namun selepas satu jam, anak muridnya itu mengadu gagal mengalihkan batu itu tetapi tuan guru meminta dia meneruskannya.

Tiga hari berikutnya, anak muridnya masih mengerah sepenuh tenaga untuk menolak batu besar itu. Anak murid mengadu yang dia gagal mengalihkan batu itu dan apa yang diraihnya hanyalah tangannya yang semakin berotot dan turun berat badan. Tuan guru berkata, baguslah begitu kerana beliau cuma mengarahkan untuk menolak batu besar itu dan bukan menggerakkannya.

Walaupun kisah kedua-­duanya boleh diberikan tafsiran tertentu, namun dua kisah ini mengajar kita bahawa halangan atau tekanan dalam hidup itu tidak semestinya melemahkan.

Bahkan ia mungkin tarbiyah Allah untuk menjadikan kita hamba-Nya yang mempunyai dalaman lebih kuat dan cekal secara tidak langsung sebagai persiapan menghadapi dugaan yang lebih besar dalam menelusuri ranjau kehidupan yang panjang.

Kalau tidak kerana halangan batu itu, akar dan benih pokok kurma itu mana mungkin menjadi kuat? Ke­rana ‘latihan’ menolak batu besar itu juga, anak murid guru menjadi lebih perkasa.

Tekanan itu boleh jadi datang dari kiri dan kanan, depan dan belakang. Ia boleh jadi daripada hambatan si­tuasi atau manusia. Sekalipun tekanan itu datang daripada manusia kejam yang berniat memberikan tekanan, namun berdoalah agar tekanan itu tidak sekali-kali merugikan, bahkan mereka yang rugi kerana menjadikan kita lebih kuat selagi diri di landas kebenaran.

Benarlah firman Allah dalam surah Al-Insyirah: “Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kesenangan.” Yakinilah dengan janji Allah bahawa Dia tidak akan membebani seseorang dengan suatu beban itu melainkan sesuai dengan kemampuannya.

Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk mengharungi ujian dalam hidup yang penuh onak duri ini. Sesungguhnya hanya kepada Allah kita sembah dan memohon pertolongan.