Sebaik sahaja insiden berdarah itu berlaku, pelbagai teori, spekulasi dan analisis muncul satu persatu mengenai punca terjadinya insiden berkenaan dan salah satunya ialah mengaitkannya dengan permainan online yang popular ketika ini iaitu Player Unknown’s Battleground (PUBG).

Penulis difahamkan permainan PUBG adalah antara permainan e-sukan yang cukup popular dan sehingga kini telah dimuat naik lebih 100 juta pengguna telefon pintar di seluruh dunia.

Permainan yang melibatkan pepe­rangan ini memang unik dan lain daripada yang lain kerana ia menghubungkan pengguna-pengguna di seluruh dunia dengan jumlah yang besar pada satu masa.

Itu belum dikira lagi dengan impak grafik dan kesan visual yang boleh dikatakan canggih serta jalan permainan yang memenuhi citarasa bagi golongan yang ‘gila berperang’ ini.

Sebenarnya permainan ala-ala perang biasanya memang menarik dan ‘ketagih’ kalau dimainkan ke­ra­na ia menggamit orang biasa seperti kita merasai pengalaman dan adrenalin seperti dalam ke­adaan perang sebenar.

Ramai pihak menyalahkan permainan PUBG ini yang kononnya dilihat memberi inspirasi kepada terjadinya insiden berdarah ini.

Bagaimanapun untuk kita meletakkan kesalahan ke atas permainan PUBG ini semata-semata sebagai punca utama, penulis rasa ia seperti satu tindakan yang tidak wajar.

Kita semua pastinya sudah maklum tentang pelbagai informasi dan maklumat tentang si pelaku, Brenton Tarrant, 28, seorang warga Australia yang dikatakan memiliki ideologi Neo-Nazi yang ekstremis dan juga pelampau kulit putih.

Sebelum melakukan pembunuhan itu, akhbar The Sydney Morning Herald memberitahu, Tarrant te­lah memberi kenyataan bahawa dia akan menyerang masyarakat imigran di New Zealand dan menyiarkannya secara langsung me­nerusi laman Facebook sama seperti visual dalam permainan PUBG.

Namun, persoalannya ialah adakah Tarrant benar-benar mela­kukan keganasan ini selepas mendapat inspirasi daripada permai­nan PUBG?

Bagi penulis, pengaruh yang dibawa oleh permainan video adalah tidak sekuat seperti impak pengaruh yang ditunjukkan dalam televisyen.

Ini kerana sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran, kita sepatutnya tahu menilai mana satu rea­liti dan mana satu fantasi.

Ya, tidak dinafikan mungkin ada beberapa kes atau insiden yang pelakunya mendapat insiprasi daripada permainan berasaskan keganasan, namun adakah semua kanak-kanak atau orang dewasa yang bermain permainan ini mudah terpengaruh begitu sahaja tanpa tahu membezakan yang mana betul dan yang mana salah.

Bagi penulis, insiden keganasan ini sebenarnya berkait rapat de­ngan tahap kekuatan minda kita dalam menentukan mana satu perkara baik dan mana yang buruk. Tindakan mana yang memberi faedah kepada kita atau masyarakat dan tindakan mana yang mengundang kemusnahan serta keburukan kepada diri sendiri atau masyarakat.

Tahap pemahaman seseorang itu terhadap sebarang ideologi atau kepercayaan yang sebenarnya membantu si pelaku itu melakukan sesuatu perkara.

Jika seseorang itu begitu taksub dengan ideologi ekstremis dan percaya hanya keganasan sahaja yang boleh menghalang atau menyelesaikannya, maka tindakan yang melibatkan keganasanlah jalan yang diambilnya.

Seperti dalam kes Tarrant ini, dia dikatakan seorang yang taksub kepada ideologi Neo-Nazi (Nazi Baharu) iaitu fahaman yang berkait rapat dengan Nazisme, ideologi rasmi negara Jerman ketika zaman Hitler (1933-1945) yang melakukan pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi.

Cuma penganut ideologi Neo-Nazi ini hanya mengganas bagi menghalang kemasukan imigran Muslim yang mereka lihat sebagai ancaman kepada kelangsungan hidup kaum kulit putih di Eropah.

Justeru, kalau mahu dikatakan permainan PUBG harus diharamkan kerana memberi pengaruh kepada kejadian pembunuhan di New Zealand ini, penulis rasa ia tidak begitu relevan sama sekali.

Semua aspek yang melibatkan impak positif dan negatif dalam semua permainan sukan elektronik (e-Sukan) sebenarnya bergantung kepada kebijaksanaan seseorang untuk menilainya.

Jika seseorang itu berniat mahu membunuh, dia akan tetap membunuh walaupun dengan menggunakan senjata lain seperti pisau, pedang atau peralatan lain.

Percayalah, sama ada permai­nan berunsurkan keganasan dalam talian ini ada atau tidak, jika seseorang itu sudah mempunyai ideo­logi ekstremis dalam fikirannya, mereka akan tetap melakukannya.