Itu adalah mengenai sesetengah kumpulan yang menolak imunisasi kepada anak-anak dengan pelbagai alasan, namun apa yang menjadi masalah adalah anak orang lain yang tiada kena mengena turut dijangkiti penyakit disebabkan itu.

Teringat kisah keluhan seorang rakan mengenai isu penyakit berjangkit ini.

Dia mengeluh apabila anaknya selalu dijangkiti selesema seolah-olah tidak berkesudahan ketika berada di rumah pengasuh.

Apabila diselidiki rupa-rupanya ada seorang kanak-kanak lain yang dijaga pengasuh sama yang dijangkiti selesema tidak pernah diberikan atau dibekalkan ubat oleh ibunya.

“Pening kepala aku, rupanya selesema budak itu yang tidak sembuh-sembuh buat anak aku asyik on off selesema, macam mana hendak buat, ibu budak itu memang jenis tidak percaya ubat,” cerita rakan penulis.

Sikap ini penulis boleh gelarkan pentingkan diri sendiri, disebabkan anda percaya penyakit budak-budak boleh sembuh secara semula jadi, anda memudaratkan anak-anak orang lain yang berada di rumah pengasuh sama.

Nasihat penulis kepada ibu bapa sebegini adalah jagalah sendiri anak di rumah dan elak hantar ke pusat asuhan jika mahu anak anda sembuh sakit secara semula jadi.

Berdasarkan kisah seorang rakan itu, teringat penulis ketika membuat liputan berita sekitar 2008 ketika bertugas di Biro Kosmo! Alor Setar Kedah.

Sebuah taska di bandar itu terpaksa ditutup kerana ramai dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dan ketika itu penyakit berkenaan agak asing tidak seperti dua, tiga tahun kebelaka­ngan ini.

Ketika menemuramah seorang guru di taska itu, dia memberitahu, HFMD berkenaan berpunca da­ripada seorang kanak-kanak yang demam tetapi ibu bapanya terpaksa hantar juga kerana cuti sudah habis.

“Mereka baru lepas bercuti di Melaka dan hari pertama ke taska kanak-kanak itu demam, ibu bapa tiada pilihan kerana cuti sudah habis,” jelas guru itu.

Rupa-rupanya, kanak-kanak itu bukan demam biasa sebaliknya dijangkiti HFMD, disebabkan itu beberapa kanak-kanak lain turut dijangkiti virus itu menyebabkan satu taska ditutup.

Masalah itu tidak terhenti di situ sahaja apabila taska itu perlu dibersihkan dengan menggunakan ubat antiseptik.

Penulis tidak tahu apa yang difikirkan oleh ibu bapa sebegini memperjudikan kesihatan anak sendiri dengan membiarkan dijaga oleh pengasuh sehingga membiarkan penyakit merebak kepada yang lain.

Ibu bapa patut lebih prihatin tentang kesihatan anak-anak mereka sendiri dengan tidak membiarkan mereka dijaga oleh pengasuh semata-mata.

Apa yang penting bekalkan ubat-ubatan yang sepatutnya juga kepada pengasuh, jika anak sakit dan tidak membiarkan anak-anak sihat secara semula jadi sehingga menyusahkan pihak lain.

Tepuk dada tanya selera.