Mesej itu berbunyi: “Viralkan banyak-banyak sampai ke pengetahuan keluarga. Menangis bapak jika nampak kelakuan anak di luar begini. Mudah-mudahan diberi hidayah. Amin...”

Turut disertakan bersama mesej tersebut, rakaman video seorang gadis muda bertudung (dipercayai Melayu dan ber­agama Islam) yang sedang melakukan perbuatan seperti menyembah atau menilik nasib di sebuah tokong Cina sambil diperhatikan beberapa gadis lain yang juga bertudung.

Rakan saya itu mengakui dia terkejut. Sebagai seorang Muslim, dia agak marah apabila meneliti video tersebut yang memperlihatkan perbuatan gadis tersebut seperti melakukan perbuatan syirik yang dilarang Islam.

Namun, tidak cepat melatah untuk mengikut arahan mesej tersebut supaya menularkan video berkenaan, rakan saya itu sebaliknya memilih untuk menggunakan akal fikiran dalam mengawal emosi marahnya itu.

“Siapa dia mahu mengarahkan orang lain supaya menularkan video tersebut? Dia tahukah apa yang sebenarnya berlaku?

“Dia sedar ke tidak perbuatannya itu sebenarnya telah menyebarkan aib orang lain yang juga dilarang oleh Islam?

“Bukankah lebih elok dia salurkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan gadis tersebut menggunakan saluran yang betul seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” luah rakan saya itu.

Apa yang boleh dikatakan, kita sebenarnya yang berterusan alpa.

Alpa dengan momokan kecanggihan teknologi media sosial yang dalam kes ini terkandung dalam telefon pintar terutamanya menerusi kewujudan WhatsApp, Instagram, Facebook dan Twitter.

Teknologi media sosial berkenaan memudahkan kita untuk menyampaikan mesej termasuklah luahan dan perasaan tidak puas hati dengan cepat dan segera.

Sehinggalah kita sering terlupa dan ‘hilang ingatan’ untuk menggunakan akal setiap kali diri dilanda emosi yang membuak-buak.

Seolah-olah mendapat lesen untuk membuat kecaman, kita lantas menghamburkan kata-kata yang kurang enak demi me­lampiaskan rasa tidak puas hati terhadap sesiapa sahaja yang tidak berkenan di hati menerusi media sosial.

Terutama apabila seseorang selebriti atau figura terkenal mengeluarkan kenyataan yang mengundang kontroversi di media sosial.

Nama-nama seperti Datuk Seri Vida, Datuk Alif Syukri, Nur Sajat Kamaruzzaman dan Safiey Ilias adalah antara yang pernah menjadi bahan kecaman ‘kesukaan ramai’ dalam kalangan netizen.

Terbaharu, pelakon Nabila Huda semalam dilaporkan memohon maaf ekoran komen pedasnya tatkala membalas komen seorang pengguna Twitter yang mengkritik kedai makan miliknya, Waroeng Isabella sebagai hambar dan indah khabar daripada rupa.

Pendakwah, Pencetus Ummah (PU) Syed Mohd. Bakeri Syed Ishak pula kelmarin dilaporkan memohon maaf kepada pelakon terkenal pasangan suami isteri, Fattah Amin dan Fazura.

Ia adalah ekoran selepas PU Syed membuat teguran menerusi media sosialnya hanya berdasarkan laporan sebuah akhbar (bukan Kosmo!) berkaitan isu kononnya, Fattah mengizinkan Fazura beraksi seksi dalam klip video lagu terbaharunya, Can’t Forget Me.

Paling tidak masuk akal ada kalangan netizen yang boleh disifatkan sudah hilang akal apabila berani mati mengecam ke tahap menghina, keputusan Sultan Muhammad V meletakkan jawatannya sebagai Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

Sedangkan netizen terbabit tiada kaitan langsung dengan perkara tersebut. Padahnya, mereka bukan setakat dibuang kerja malah ditahan pihak berkuasa.

Inilah angkaranya apabila alpa tanpa akal.