Kami teruja dan tersenyum bangga kerana mereka boleh berbahasa Melayu meskipun hanya dalam beberapa patah perkataan. Mereka begitu ramah berbual dengan pelancong yang melawat destinasi menarik itu.

Saya sempat bertanya kepada seorang penjual tersebut dan dia memaklumkan bahawa mereka belajar bahasa tersebut secara tidak formal daripada pelancong Malaysia, Indonesia dan Singapura kerana mereka merupakan antara kumpulan pelancong paling ramai datang ke stadium popular tersebut.

Persinggahan di stadium tersebut merupakan antara kegembiraan pelancong apabila berkunjung ke Sepanyol. Mereka boleh merealisasikan hajat menjejakkan kaki ke stadium milik pasukan bola sepak seperti Real Madrid dan Barcelona, apatah lagi jika dapat memasuki stadium serta membeli jersi yang berharga beratus-ratus euro.

Bagi saya, Sepanyol memiliki keunikan tersendiri, terpulang kepada niat dan misi pengembaraan masing-masing kerana ia begitu terkenal dengan sejarah kegemilangan Islam dan kerajaan Andalusia suatu masa dahulu.

Antara destinasi menarik yang saya kunjungi dan cukup terkesan kenangannya ialah ketika melawat Masjid Cordoba, Cordoba, satu-satunya masjid di dunia yang tidak dibenarkan solat di dalamnya kerana ia sudah dijadikan gereja.

Pembinaan Masjid Nabawi di Madinah mengambil ilham daripada tiang dan gerbang Masjid Cordoba.

Saya bersama tujuh rakan kembara lain di bawah kendalian TMPL Backpackers telah merangka perjalanan awal dari Granada ke Cordoba ke­rana mahu memastikan kami tiba di masjid berkenaan sebelum pukul 8 pagi.

Ini kerana Masjid Cordoba dibuka secara percuma kepada umum pada masa tersebut dan sejam selepas itu, bayaran sebanyak 18 euro (RM81) seorang akan dikenakan.

Saya cukup kagum tatkala menjejakkan kaki ke dalam masjid berkenaan kerana ia sangat luas. Tidak hairanlah jika masjid berkenaan boleh memuatkan lebih daripada 30,000 jemaah ketika zaman kegemilangan Islam lalu.

Tidak mahu membuang masa melihat pelbagai patung dan ada yang bersalib di sekelilingnya, saya terus berjalan menuju ke kawasan berpagar yang mana terdapatnya mihrab tinggalan masjid.

Terlalu unik bangunan tersebut. Banyak ayat al-Quran yang cantik dengan seni tulisannya yang halus terdapat pada keseluruhan dinding.

Sememangnya ia mening­galkan satu perasaan bercampur baur selain cuaca sejuk di bawah 10 darjah Celsius membuatkan hati saya begitu sayu sehingga tanpa disedari air mata mengalir tatkala menghayati tinggalan sejarah tersebut.

Jika diikutkan hati, mahu sahaja saya bersolat dan sujud di satu sudut di kawasan tersebut kerana saya sedang berada di dalam masjid agung dunia, namun hanya doa dititipkan selain bersedekah al-Fatihah kepada pejuang Islam ketika zaman kegemilangan kerajaan lalu.

Pihak keselamatan di situ sentiasa mengawasi pengunjung Islam yang cuba untuk solat dan melarang mereka berbuat demikian.

Sejarah kegemilangan Islam sehingga membuatkan ia lenyap di bumi Sepanyol amat memilukan dan ia perlu dijadikan pengajaran buat generasi masa kini, meskipun ia berbeza dengan perubahan zaman, minda, gaya hidup tetapi pas­tinya sejarah pasti berulang.

Jika masyarakat Islam di Malaysia masih leka, lalai dan tidak bersatu padu selain generasi muda yang makin hanyut dengan perubahan arus kemodenan pastinya Malaysia bakal mengundang peluang kepada pihak lain untuk menjajah semula.