Penggunaan agen saraf dalam insiden itu membuatkan Perdana Menteri Britain, Theresa May naik berang. 

Dunia juga tahu London mendakwa cubaan bunuh itu didalangi Rusia dan bertindak mengusir 23 diplomat Rusia dari bumi Britain.

Langkah itu mengundang tindak balas serupa oleh Moscow sebelum meruncing dan mencetuskan Perang Dingin alaf baharu antara Kremlin dan Barat.

Agen saraf tergolong dalam toksin kimia yang merosakkan sistem saraf dan kebiasaannya mempunyai tiga bentuk sama ada serbuk, gas ataupun cecair yang boleh meresap ke dalam kulit manusia dan membawa maut dan dalam masa beberapa minit sahaja tanpa diketahui punca kematian.

Menurut Perbadanan Penyiaran British (BBC), Novichok bermakna ‘pendatang baharu’ dalam bahasa Rusia dan dihasilkan oleh bekas negara Kesatuan Soviet dalam tahun 1970-an dan 1980-an. Ia dikatakan lebih beracun daripada agen saraf VX yang digunakan dalam pembunuhan Kim Jong-nam iaitu abang tiri pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Senjata berbahaya itu sukar untuk dikesan oleh sistem kawalan keselamatan di lapangan terbang dan pintu masuk negara yang lain.

Ia juga diharamkan di bawah Konvensyen Senjata Kimia yang dimeterai pada 13 Januari 1993 dan berkuat kuasa pada 29 April 1991.

Perjanjian tanpa tempoh masa tertentu itu mewajibkan negara-negara anggota memusnahkan semua senjata kimia dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Konvensyen itu lebih menyeluruh dan tegas berbanding Protokol Geneva 1925 yang mengharamkan penggunaan tetapi tidak pemilikan senjata kimia.

Penggunaan agen saraf di Britain menunjukkan kawalan ketat dan sistem pertahanan canggih  Barat bukan lagi jaminan keselamatan rakyat mereka, lebih-lebih lagi ketika dunia dikejutkan dengan satu demi satu serangan pengganas.

Penggunaan agen saraf juga mendatangkan perasaan gerun kepada pemimpin Barat.

Menurut laman web The Verge, serangan agen saraf terhadap Skripal  bertujuan menghantar mesej jelas bahawa maut menanti sesiapa sahaja yang berani berpaling tadah terhadap Rusia tanpa mengira di mana mereka berada dan juga, Moscow tidak gentar dengan sebarang tindak balas Barat.

Seperti yang dikatakan oleh seorang profesor  dari Universiti Katholik Amerika yang juga pakar dalam hal ehwal luar Rusia, Michael Kimmage: “Saya tidak fikir ada sesiapa (di London) yang akan mencadangkan untuk menghantar James Bond bagi menangani perkara ini.”

Apa yang berlaku di Salisbury juga memberi petanda bahawa kuasa-kuasa besar tidak benar-benar jujur  mengenai simpanan senjata kimia mereka.

Rusia sebelum ini menegaskan bahawa ia telah memusnahkan semua senjata maut itu yang berada dalam simpanannya. Persoalannya di manakah agen saraf Novichok yang digunakan dalam percubaan membunuh Skripal itu dihasilkan.

Agen saraf bukanlah semudah bom buatan sendiri yang boleh dihasilkan daripada bahan-bahan yang tidak sukar didapatkan seperti dilakukan oleh pengganas masa kini. 

Ia merupakan senjata yang hanya dihasilkan di makmal-makmal dan memerlukan kepakaran.

Penggunaan senjata pemusnah itu yang mana kosnya le­bih murah untuk dihasilkan berbanding bom nuklear,  perlu dibendung sekeras-kerasnya oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Bayangkan jika ada negara yang mempunyai senjata kimia pada masa hadapan dan membiarkannya secara  sengaja ataupun tidak sengaja, jatuh ke tangan pengganas atas sebab-sebab tertentu. Kesannya terhadap orang awam sukar dibayangkan.