Berdasarkan laporan akhbar, mereka dijanjikan pekerjaan dengan bayaran gaji sehingga AS$1,500 (RM6,100). Namun, rakyat Malaysia itu tidak mendapat pekerjaan se­perti yang dijanjikan sebaliknya ditahan polis Kemboja selepas ditempatkan di sebuah rumah persendirian.

Kisah ditipu oleh sindiket yang memperdaya warganegara Malaysia untuk bekerja di luar negara bukannya baru berlaku. Sebelum ini terdapat ba­nyak kes penipuan seperti itu.

Penulis masih ingat iklan tawaran pekerjaan memetik buah epal di Australia beberapa tahun lalu. Pekerjaan itu menjadi gurauan rakan penulis kerana petik buah sahaja boleh memperoleh gaji sehingga RM15,000 sebulan.

Ketika itu heboh diperkatakan tentang pekerjaan tersebut. Kerja petik buah epal itu akhir­nya tidak lagi menjadi bualan selepas akhbar Utusan Malaysia membongkar kesukaran rakyat Malaysia mencari rezeki di ladang buah-buahan dan sayuran di Australia pada tahun 2016.

Bagaimanapun, kisah penipuan pekerjaan di luar negara masih lagi berlaku. Sindiket penipuan itu memperdayakan golongan muda lepasan sekolah menengah dengan melakukan pekerjaan haram selepas mereka tiba di negara asing.

Impian untuk bekerja dengan gaji lumayan akhirnya berkecai. Jika ditangkap polis atas tuduhan melakukan perbuatan yang salah di bawah undang-undang negara asing, terpaksalah duduk di dalam penjara sehingga kes dibicarakan di mahkamah.

Berikutan berlakunya kes-kes rakyat Malaysia yang terpeda­ya de­ngan sindiket penipuan pekerjaan, ramai pemimpin negara sebelum ini meminta penduduk negara ini supaya berhati-hati dengan tawaran pekerjaan di luar negara.

Pada tahun lalu, bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman juga pernah menasihatkan warganegara Malaysia yang menerima tawaran pekerjaan di luar negara supaya mendapatkan maklumat sahih termasuk syarat untuk bekerja menerusi kedutaan negara tersebut di Malaysia atau Kedutaan Malaysia di negara berkenaan.

Maklumat itu penting kerana bekerja di luar negara memerlukan permit khas. Di negara ini, ramai warga asing yang ditangkap kerana bekerja de­ngan menggunakan pas lawatan sosial. Sebahagian yang ditangkap itu ialah wanita yang be­kerja sebagai pelayan pelanggan di kelab malam.

Sindiket penipuan pekerjaan bukan sahaja berlaku dalam kalangan warga Malaysia tetapi juga rakyat asing. Polis Sela­ngor pernah menyelamatkan dua warga China yang dijanjikan pekerjaan sebagai tukang paip tetapi didera dan digari di sebuah banglo serta dipaksa bekerja sebagai pengendali operasi perjudian online.

Memang tidak salah bekerja di luar negara. Ada yang be­kerja di luar negara untuk me­nimba pengalaman dan memperoleh gaji lebih tinggi dari negara sendiri berdasarkan kadar tukaran mata wang asing.

Sehubungan itu, tidak hairanlah apabila ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura untuk mencari rezeki dengan menyeberangi Tambak Johor hampir setiap hari. Mereka bekerja dengan menggunakan permit khas sama seperti warga Bangladesh, Indonesia, Pakistan dan India yang bekerja secara sah di Malaysia. Terdapat juga warga asing yang bekerja di negara ini dengan memegang jawatan tinggi dalam syarikat multinasional. Bukan sahaja warga asing yang berkolar putih tetapi juga pemain bola sepak profesional dari negara luar yang bermain dan menerima gaji tinggi untuk pasukan bola sepak Malaysia.

Pemain-pemain bola sepak asing itu perlu memiliki permit kerja yang sah dari negara ini jika hendak bermain dengan pasukan di Malaysia. Namun, bagi yang memasuki negara ini secara haram untuk bekerja, mereka akan ditangkap oleh Jabatan Imigresen Malaysia melalui operasi yang dilakukan.

Sindiket penipuan pekerja bergaji lumayan itu sebenarnya adalah fenomena global, Be­kerja di luar negara tanpa pendidikan tinggi dan kelulusan profesional yang sesuai dengan pasaran pekerjaan adalah tidak semudah yang disangkakan.

Penulis menganggap tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan itu umpama kata-kata dalam peribahasa Melayu iaitu ada udang di sebalik batu yang bermaksud terdapat niat yang tersembunyi di sebalik sesuatu perbuatan. Justeru, berhati-hatilah dengan tawaran pekerjaan di luar negara.