Sebanyak 16 senarai nama kumpulan yang tidak dibenarkan didaftarkan oleh JPN. Kumpulan nama pelik itu me­rangkumi sebutan atau makna yang tidak sesuai, bukan sahaja bagi orang Islam, tetapi masyarakat Cina dan India.

Selain itu, nama-nama singkatan seperti Abd. juga tidak dibenarkan. Ia mesti dieja penuh iaitu Abdul’ atau Mohd. mesti dieja Mohamad. Keputusan itu nyata bernas. Hal ini kerana, semalam, media melaporkan nama seorang bayi perempuan yang dilahirkan pada tahun lalu merupakan antara nama terpanjang yang didaftarkan pada alaf ini. Ibu bapanya menamakan anak kecil itu Princess Aura Nurr Ermily Amara Auliya Bidadari Nawal El Zendra Mohd. Sufian.

Terbelit lidah dan sesak nafas penulis menyebutnya. Terdapat sebanyak 54 aksara pada nama bayi perempuan itu.

Walaupun ramai yang terkejut dengan pemilihan 10 nama bagi merujuk kepada hanya seorang kanak-kanak perem­puan, namun JPN memberitahu itu bukan satu rekod. Sebaliknya, nama terpanjang yang masih belum dipecahkan rekodnya memiliki 78 aksara dengan empat patah perkataan.

Beragam respons yang di­terima mengenai penggunaan nama yang begitu panjang. Hakikatnya, memilih nama panjang atau kedengaran moden sudah seperti menjadi satu trend dalam kalangan masyarakat kita. Berbanding pada zaman dahulu, ibu bapa senang memberi nama mudah seperti Azizah, Aminah, Fatimah atau Melur, namun apabila waktu bergulir penggunaan nama berbunyi Inggeris seperti Rayyan, Danish, Noah, Aleesya, Batriesya, Balkis dan Damia menjadi pilihan.

Jika kebanyakan ibu bapa di Malaysia memilih nama yang panjang dan saling berlumba menggunakan nama moden bagi anak mereka, di Indonesia, lain pula halnya. Republik tersebut kerap memiliki nama-nama tidak masuk akal yang diluluskan oleh pihak berkuasa.

Ini termasuklah seorang lelaki yang diberi nama Tuhan, manakala di Batam, seorang lelaki yang kini berusia 39 tahun diberi nama Dontworry. Tidak sekadar itu, ada seorang lelaki yang dilahirkan di Lampung diberi nama Satria Baja Hitam dan remaja lelaki yang dilahirkan pada tahun 1990 pula diberi nama Batman!

Asbab memilih nama yang panjang juga mungkin kerana pasangan yang berkahwin menunggu terlalu lama untuk memperoleh seorang cahaya mata, atau kebimbangan hanya memiliki seorang anak. Memi­lih nama yang moden juga barangkali melambangkan inilah anak yang dilahirkan dari ge­nerasi masa kini.

Buat penulis? Penulis selesa menamakan tiga anak dengan nama yang ringkas tetapi tidak membebankan. Jika sewaktu menamakan anak sulung penulis dengan nama Auji, lapan tahun lalu banyak yang berasa pelik kerana ia bukan nama yang popular pada waktu itu, nama anak kedua penulis, Saraya juga sering disalah panggil sebagai Suraya. Sudahnya, nama anak lelaki sulung kami, dan yang ketiga dinamakan dengan sangat ringkas.

Dia diberi nama Ata. Walaupun hanya tiga aksara, namun maknanya dalam bahasa Arab cukup mengesankan terhadap perjalanan hidupnya selama sembilan bulan dikandungkan. Ia membawa maksud Pemberian, yang sengaja dipilih ke­rana Ata, mengikut catatan di atas kertas doktor merupakan seorang bayi sindrom Down, tetapi selamat dilahirkan de­ngan begitu sempurna.

Namun sebenarnya, pemilihan nama anak bergantung kepada cita rasa ibu dan bapa. Ada yang berasa puas apabila beberapa patah nama berlainan yang dipilih, kemudian dicantumkan membawa maksud yang baik. Ada pula yang berasa cukup dengan satu nama yang ringkas tetapi membawa maksud begitu peribadi sudah memadai.

Begitulah, bagaimana sepotong nama yang diberi memberi signifikan tersendiri terhadap ibu bapa atau keluarga. Sekali lagi, ia berbalik kepada cita rasa masing-masing. Namun, janganlah sampai nama yang diberi membebankan anak, pihak lain sekali gus membawa maksud yang kurang baik kerana nama adalah satu doa.