Rata-rata dalam kalangan kita semestinya sudah bersedia dengan senarai pendek apa yang bakal dilakukan pada tahun depan serta merealisasikannya.

Jika dilihat ke belakang pasti ada dalam kalangan kita ingin melupakan kisah-kisah sedih sepanjang tahun ini dan berhasrat membuka buku baharu yang lebih menceriakan pada tahun depan.

Buat netizen di luar sana pasti banyak catatan ditulis pada ‘wall’ masing-masing sepanjang tahun ini dengan berkongsi pelbagai luahan suka dan duka dengan rakan-rakan dalam alam maya.

Ramai juga netizen yang berkongsi pelbagai momen-momen indah dalam laman Instagram masing-masing melalui gambar-gambar dan ‘Insta Stories’ mengenai kejayaan, perkahwinan dan percutian.

Buat mereka-mereka yang menggelarkan diri sama ada ‘keyboard warrior’, ustaz atau ustazah alam maya, mungkin 2018 boleh dijadikan detik perubahan ke arah lebih baik dan tinggalkan sikap buruk tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Tidak guna hanya pandai mengkritik sana sini tanpa mengukur di baju di badan sendiri terlebih dahulu ataupun cerminkan diri sebelum berkata sesuatu.

Media sosial bukanlah tempat kita meluahkan setiap perkara tanpa mengambil kira natijah atau akibat kerana apa yang kita tulis itu bukan semuanya boleh dihadam bulat-bulat oleh orang lain.

Jika ia bersangkut paut bab halal dan haram tinggalkan sahaja kepada mereka yang lebih arif dan siapalah kita untuk melabel orang sesuka hati seumpama ketam mengajar anaknya berjalan lurus.

Apa jua berkaitan dengan ilmu agama adalah lebih baik diserahkan kepada mereka yang benar-benar bertauliah dan sememangnya diiktiraf sebagai ustaz dan ustazah.

Ambil yang jernih buang yang keruh dan jadikan detik 12.01 tengah malam pada Tahun Baru 2018 sebagai permulaan lebih baik dalam media sosial.

Gunakan Facebook, YouTube, SnapChat, Twitter, Instagram dan mana-mana platform media sosial ke arah lebih baik dan membina serta positif.

Ambil peluang dalam media-media sosial dengan menimba ilmu, melakukan perniagaan, mengenali rakan baharu dan membuka ruang kepada rakan sedia ada mengenali diri kita dengan lebih dekat.

Tidak usah merancangkan tahun depan untuk menjadi Raja ‘keyboard warrior’ atau menjadi imam muda tanpa tauliah dengan memberi tazkirah ‘copy’ dan ‘paste’.

Jadi diri anda sendiri sebaiknya dan jangan sampai terpaksa ‘diactivate’ akaun kerana terlepas muat naik status berbaur hasutan sehingga menimbulkan kebencian masyarakat.

Sila ambil iktibar dengan pelbagai kes yang telah dibawa ke muka pengadilan sepanjang tahun ini gara-gara terlajak tutur kata dalam media sosial.

Pendek kata tahun 2018 adalah detik di mana kita berubah ke arah lebih baik sama ada di alam nyata ataupun maya.

Jangan jadikan ketagihan dalam media sosial sehingga membawa kehancuran dalam kehidupan dan akhirnya menyusahkan ahli keluarga kita sendiri.

Tahun 2018 adalah tahun lebih baik. Semat itu dalam diri kita supaya ada perkara-perkara lebih menguntungkan mengetuk pintu rezeki masing-masing pada tahun depan.

Semoga 2018 menjadi tahun lebih baik untuk semua.