Menurut Pusat Maklumat Gempa Bumi Kebangsaan Amerika Syarikat (NEIC), purata 20,000 gempa bumi berlaku pada setiap tahun atau sekitar 50 gegaran dalam sehari.

Ini belum termasuk berjuta-juta gempa bumi lemah yang sukar direkodkan oleh peralatan manusia.

Bencana itu antara lain disebabkan oleh letusan gunung berapi dan impak meteor tetapi sebahagian besarnya berpunca daripada pergerakan serta pe­langgaran lapisan atau plat Bumi.

Lazimnya, gegaran tanah semasa gempa bumi tidak meragut nyawa. Kematian sebaliknya berpunca daripada struktur binaan manusia seperti kediaman dan bangunan runtuh di samping bencana tsunami serta tanah runtuh yang menyusul selepas gempa bumi.

Dalam pada itu, hampir 80 peratus daripada semua gempa bumi yang berlaku di dunia ini tertumpu di kawasan yang dikenali sebagai ‘Lingkaran Api Pa­sifik’ . Rantau itu merangkumi negara seperti Chile, Mexico, Amerika Syarikat, Antartika, Rusia, Jepun, Filipina, New Zealand, Papua New Guinea, Indonesia, Kanada, Peru, Taiwan dan Guatamela.

Kawasan Lingkaran Api Pasifik mengandungi sebanyak 452 buah gunung berapi atau 75 peratus bilangan gunung berapi dunia termasuk yang aktif atau pendam.

Gempa bumi paling kuat pernah direkodkan bermagnitud 9.5 pada di Chile pada 22 Mei, 1960, manakala gempa bumi bawah laut pada 26 Di­sember 2004 mencetuskan tsunami yang melanda negara-negara di sekitar Lautan Hindi, mengakibatkan lebih 225,000 nyawa di 11 negara melayang.

Menurut NEIC, gempa kuat bermagnitud sekurang-kurangnya 7 berlaku lebih sekali dalam masa sebulan, sementara gempa besar dengan kekuatan 8 atau lebih pada skala Richter melanda sekitar sekali dalam setahun.

Apabila gempa bumi di Chile berlaku, alaf seismograf merakam gelombang gempa yang menggegarkan Bumi selama beberapa hari.

Berbalik kepada tragedi gempa bumi yang berlaku di Lombok, wilayah Nusa Tenggara Barat pada 29 Julai lalu dan minggu ini, beberapa ahli geologi percaya ia merupakan gempa bumi berkembar.

Ketua divisyen gempa dan tsunami di Agensi Geologi Indonesia, Arifik Joko Pradipto berkata bencana itu memiliki ciri gempa bumi berkembar termasuk selang gempa tidak lama iaitu seminggu, pusat gempa pula terletak berdekatan pada jarak kurang 100 kilometer, manakala kekuatan gegaran juga tidak jauh berbeza.

“Dalam sejarah gempa bumi dunia, belum ada lagi kejadian gempa bumi trio. Sekiranya, kami dapat mengesahkan bahawa bencana di Lombok adalah gempa bumi berkembar, maka, kami secara pasti boleh mengatakan bahawa tiada lagi gempa lebih kuat akan melanda pulau itu,” katanya.

Menyentuh kejadian gempa bumi Malaysia, pakar-pakar menyatakan bahawa negara ini terletak dalam plat Sunda yang tidak mengalami pelanggaran sehingga mencetuskan gempa bumi.

Bagaimanapun, Sabah pernah mencatatkan gempa sederhana di Ranau pada tahun ini dan di Lahad Datu sekitar setahun lalu.