Pengurus Koperasi Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah), Mohammad Syukri Ismail berkata, kesemua kit tersebut akan disalurkan kepada 407 buah masjid, surau (2,047) dan hospital (10) di seluruh negeri ini.

Katanya, program infaq itu merupakan tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat setempat.

"Kit yang lengkap untuk pengurusan jenazah lelaki dan wanita itu didatangkan dengan harga lebih murah daripada pasaran iaitu hanya RM190.

"Mereka yang ingin menginfaqkan kit berkenaan boleh berbuat demikian dengan menghulurkan sumbangan serendah RM10," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, kit itu mempunyai 30 barangan keseluruhan meliputi dua set bagi mandian dan kafan.

Mohammad Syukri menambah, kit-kit berkenaan disasarkan akan mula diedarkan kepada kumpulan sasaran bermula Mac ini.

"Sekiranya jumlah sumbangan melebihi sasaran, kita akan memperluaskan ke seluruh negara jika mendapat permintaan menggalakan.

"Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan ke nombor akaun Affin Islamic Bank 105990040017," katanya. - K! ONLINE