Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Mohd. Ali Mohamad Nor berkata, penggunaan pelbagai platform komunikasi sedia ada di jabatan dan agensi di bawah KKMM dilihat dapat membantu memastikan penyampaian komunikasi secara bersepadu yang efektif dan berkesan.

"Melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Jabatan Penerangan dengan secara cepat dan tepat dapat menguar-uarkan maklumat mengenai SST supaya tiada kekeliruan dalam kalangan masyarakat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taklimat SST di sini hari ini.

Jelasnya, selain kaedah konvensional dan program bersemuka dengan orang awam, capaian melalui sosial media juga akan digunakan bagi memberi penerangan dan membetulkan pandangan yang tidak tepat tentang pelaksanaan cukai tersebut. 

Di samping itu, katanya, peranan KKMM melalui jabatan dan agensi turut diperlukan bagi mendapatkan maklum balas daripada rakyat untuk disampaikan kepada Kementerian Kewangan memandangkansenarai barangan SST masih belum dimuktamadkan sehingga akhir tahun.

Beliau berkata, adalah diharapkan taklimat pada hari ini yang dihadiri kira-kira 600 peserta daripada KKMM, jabatan dan agensi serta wakil-wakil daripada kementerian lain dapat memberi penjelasan dan kefahaman kepada mereka seterusnya dapat menyebar maklumat berkenaan SST kepada semua rakyat.

Mohd. Ali berkata, taklimat yang sama juga akan diadakan di Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat  bagi memberi peluang yang sama kepada pihak berkepentingan di kedua-dua negeri untuk mendapatkan maklumat serta membuat persediaan sebaiknya sebelum berhadapan dengan masyarakat. - Bernama