Meditag yang diperkenalkan pada 2005 itu mewajibkan produk farmaseutikal untuk berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kementerian Kesihatan dan nombor pendaftaran tertentu akan ditetapkan untuk dicetak ke atas label atau bungkusan produk selain mempamerkan label keselamatan hologram.

Timbalan Pengarah Forensik Farmasi (Bahagian Penguatkuasaan Farmaseutikal) KKM, Mazlan Ismail berkata, Meditag adalah sebuah peranti keselamatan proprietari berbilang lapisan bagi melindungi masyarakat daripada produk tiruan dan tidak berdaftar.

“Kami mempunyai tanggungjawab sosial dan moral untuk mengekang pengedaran produk farmaseutikal tiruan di pasaran dan memastikan hanya yang berkualiti tinggi, berkesan serta selamat sahaja dijual kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengguna juga boleh memuat turun aplikasi Meditag Checker secara percuma pada telefon pintar untuk mengimbas kod QR dalam mengesahkan ketulenan sesuatu produk.