Bagaimanapun mereka tidak pula sertakan fakta-fakta meyakinkan di sebalik keluhan berkenaan melainkan menurut perasaan semata-mata. Adakah semuanya sekadar keluhan,  ada agenda-agenda politik atau tersembunyi?

Begitulah keadaan pada zaman tanpa sempadan kini apabila jari-jemari sudah menjadi raja dalam membentuk pendapat dan agenda tertentu melalui papan kekunci sehingga khalayak tidak percaya atau kabur kepada fakta sebenar.

Bukan sedikit yang percaya bahawa keadaan ekonomi negara tidak mesra kantung mereka, harga barangan dan perkhidmatan melonjak sehingga mencerminkan pemerintah ketika ini rata-ratanya diselubungi penyelewengan.  Tanpa mengira faktor sebenar dalaman dan luaran, benarkah dakwaan begitu?

Peliknya, kawan-kawan saya ber­kenaan mampu pula berbelanja sakan membeli-belah untuk keluarga selain menginap berhari-hari di hotel sambil menikmati hidangan yang  orang kampung dapat menikmatinya setahun sekalipun sukar. Di laman sosial, orang yang sama juga dengan bangga memuat naik percutiannya di sebuah pusat hiburan terkemuka di sebuah negara jiran.

Hipokrasi apakah ini? Sikap kawan-kawan saya ini bukan kes-kes terpencil tetapi juga dilakukan oleh hampir keba­nyakan orang di Malaysia. Hari-hari merungut harga petrol naik, tetapi bukan sesuatu yang membazir membeli baju yang mahal-mahal - reward kepada diri sendiri kerana penat bekerja katanya.

Hakikatnya, ekonomi Malaysia masih okay. Sebagai contoh ada beberapa senario yang mencerminkan demikian. Baru-baru ini Telekom Malaysia mengumumkan bahawa perolehannya meningkat kepada RM12.09 bilion bagi kewangan berakhir 31 Disember 2017. 

Bagi yang membacanya dengan pengetahuan kosong sudah pasti ia dianggap sebagai sekadar pencapaian Telekom semata-mata.

Bagaimanapun di sebaliknya ialah peningkatan kemampuan rakyat Malaysia membelanjakan  wang untuk menggunakan pelbagai perkhidmatan atau produk syarikat itu tidak kiralah sama ada untuk tujuan peribadi atau urusan peniagaan.  Kemampuan masyarakat telah meningkat.

Contoh senario seterusnya berlaku baru-baru ini. Kegilaan orang ramai terhadap model baharu telefon bimbit dan komputer jenama Apple bagaikan tidak dapat dibendung sehingga menjadi satu fenomena.

Walaupun telah memiliki gajet yang sama, mereka tidak mahu dicop ketinggalan zaman untuk membeli gajet yang sama tetapi model baharu keluaran Apple. Tidak hairanlah ribuan yang sanggap beratur dan berasak-asak sehingga berbelas jam demi mendapatkan gajet-gajet berkenaan.
Adakah gambaran ini mencerminkan kuasa beli orang ramai tidak begitu menggalakkan di sebalik taraf hidup kini yang semakin tinggi dek dakwaan ke­pimpinan yang tidak cekap?

Saya juga berani meramalkan bahawa MATTA Fair yang akan berlangsung pertengahan bulan ini  seperti juga tahun-tahun sebelum ini, sudah pasti mendapat sambutan hangat.

Kuasa berbelanja  yang kononnya sudah susut sebenarnya tidak lebih satu sungutan sahaja. Ia  tidak akan menghalang kegilaan  melancong sama ada di dalam atau luar negara. Telah berbilion ringgit dibelanjakan untuk tujuan ini.

Sesama Kita -  Dalam kalangan muslimah, memakai tudung kini bukan sebahagian kewajipan  menutup aurat. Ia telah dianggap lambang status juga. Memakai tudung turut digambarkan satu keperluan dalam memenuhi kehendak fesyen. Harga tudung kini bukan sekadar puluhan ringgit tetapi telah mencecah puluhan ribu ringgit.

Ada yang beranggapan pemakaian tudung juga kini  telah dilihat sebagai status pemakainya. Orang biasa-biasa ha­nya cukup sekadar mengenakan ‘bawal kosong’ tetapi bukan sesuatu yang pelik kini, tudung yang dipakai turut ditabur dengan  batu swarovski mahal yang diimport. Bagi melayan selera si pemakai, jenis kain tudung pula kini turut berjenis termasuk lycra, sifon, dan satin daripada yang gred biasa hingga A.   

Justeru tidak hairanlah, perniagaan tudung kini turut dikaitkan dengan artis, pemakaiannya menjadi satu kegilaan pula. 

Setakat ini belum ada lagi perangkaan rasmi nilai jualan tudung dalam negara tetapi kita yakin jumlahnya mencecah berbilion ringgit. Bagaimanapun, jenama yang dilancarkan di sebuah pusat hiburan baru-baru ini menduduki tempat pertama paling  trending daripada senarai nama popular jenama tudung.

Contoh-contoh di atas menunjukkan keadaan ekonomi dan keupayaan rakyat Malaysia tidaklah seteruk mana walaupun ada yang mendakwa sebaliknya. Keadaan berebut-rebut beratur untuk membeli sesuatu produk atau berebut sale masih lagi berlaku di negara ini. Masyarakat berbilang kaum juga terus merayakan perayaan masing-masing dengan penuh meriah saban tahun.

Kalau kita menggambarkan sesuatu yang negatif, keadaan yang negatiflah yang membelenggu hidup. Bagitupun jika suasana positif yang sentiasa digambarkan dan berlaku, jadi positiflah setiap masa. 

Begitulah juga dengan keadaan ekonomi di Malaysia, keadaan perlu sentiasa digambarkan ceria dan mood yang baik bukan dibelenggu rintihan dan kemuraman setiap masa. Keadaan di Malaysia perlu turut sentiasa dilingkungi dengan keyakinan dan progresif bukan huru-hara serta keresahan yang memenuhi agenda politik pihak-pihak tertentu.